fbpx
BALKIS menunjukkan sebahagian produk keluaran jenama Hakak Maneh di Bagan Serai, Perak baru-baru ini.

Jual pekasam daging bawa tuah kepada Balkis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Meninggalkan karier stabil demi mengejar impian bukanlah suatu yang mudah dilakukan. Namun itulah yang dilakukan oleh seorang bekas kerani sekolah di Bagan Serai, Perak.

Menurut Pengasas Hakak Maneh, Balkis Mohd. Soib, 39, dia sama sekali tidak menyangka tindakannya meniaga pekasam daging bagi menambah sumber pendapatan telah menukar haluan hidupnya daripada bergelar seorang penjawat awam kepada usahawan.

Katanya, perjalanannya meniaga pekasam daging bermula pada 2018 sewaktu dia masih lagi bekerja di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Tong Wah di Bagan Serai.

“Sebelum itu, saya memang aktif berniaga secara sambilan seperti menjadi ejen serta stokis barangan kosmetik bagi menambah pendapatan dan saya menggelarkan diri sebagai Hakak Maneh di media sosial.

“Pada suatu hari, stok kosmetik habis menyebabkan saya tak mendapat bekalan dan membuatkan saya berfikir, apa yang saya nak buat?

“Kebetulan pada masa itu, saya bekerja kerajaan, jadi jika musim perayaan penjawat awam lazimnya akan mendapat gaji lebih awal. Kalau hendak tunggu gaji seterusnya memang lama hingga menyebabkan orang kehabisan wang,” katanya kepada K-Wanita baru-baru ini.

Balkis berkata, dalam tempoh tersebut, dia yang aktif di Facebook terus melakukan perkongsian pengalaman hidup merangkumi pelbagai aspek dalam kehidupan sehariannya.

“Sampailah suatu hari, saya memuat naik kandungan mengenai pekasam daging yang saya masak. Tak sangka sewaktu itu, pekasam daging begitu digemari rakan-rakan serta pembaca. Mereka meminta saya menjualnya,” katanya.

Bagaimanapun ketika itu, dia masih belum bersedia untuk menjual pekasam dagingnya.

Disebabkan permintaan yang amat tinggi daripada rakan-rakannya, ia telah menjadi pendorongnya untuk menjual daging pekasam.

Katanya, berbekalkan keyakinan terhadap resipi pekasam dagingnya, dia mula membuka tempahan di Facebook.

BALKIS (tengah) memantau pekerjanya menimbang dan membungkus sambal ikan bilis.

“Saya membuka tempahan dengan menyasarkan mahu menjual 50 sahaja pekasam daging kepada mereka yang berminat.

“Dalam fikiran saya, ia diharap dapat menjana sedikit wang untuk menampung kehidupan sehingga gaji seterusnya.

“Ketika itu, saya membuka tempahan kepada umum pada pukul 4.30 petang. Namun ketika memeriksa status pada pukul 7 malam, alangkah terkejutnya saya kerana sudah menerima 130 tempahan.

“Saya segera menutup tempahan kerana saya dan suami, Zulkifli Mahamad, 39, hanya bersedia untuk menyediakan 50 pek daging pekasam. Jadi, kami terus bergegas ke pekan Bagan Serai bagi mendapatkan bahan-bahan untuk membuat daging pekasam,” katanya.

Balkis memaklumkan, sejak itu, dia terus menerima tempahan daripada orang ramai sehingga mampu menjana wang sebanyak RM480,000 pada tahun 2018.

“Perniagaan yang semakin maju ini membuatkan kami begitu sibuk. Jadi saya berfikir, lebih baik sekiranya suami yang bekerja sebagai pemandu lori di Pulau Pinang berhenti kerja dan memberi tumpuan sepenuh masa kepada Hakak Maneh.

“Suami akhirnya berhenti kerja di syarikatnya pada November 2018. Selain itu, saya juga mengambil dua orang pekerja bagi membantu operasi Hakak Maneh yang merupakan produk di bawah Putra Afiq Global Sdn. Bhd. milik kami,” katanya.

Bahkan katanya, operasi penghasilan pekasam daging yang sebelum ini dilakukan di kediaman mereka turut berpindah ke sebuah rumah kedai ekoran peningkatan permintaan daripada para pelanggan.

Katanya, memandangkan ketika itu Balkis masih bekerja di sekolah, maka dia memanfaatkan waktu rehat untuk melakukan penghantaran produk kepada pelanggan.

Pada waktu malam pula, dia meneruskan kerja-kerja lain seperti pemasaran dan menguruskan tempahan yang masuk.

“Alhamdulillah, pada Disember 2019, kami berjaya meraih jualan RM1.2 juta. Sebulan sebelum itu, saya telah hantar notis berhenti kerja 24 jam kepada sekolah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, mereka terus melakukan penambahbaikan terhadap perniagaan seperti mendapat pengiktirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bermula 2020.

“Pada tahun berkenaan, Hakak Maneh berjaya meraih jualan RM4 juta.

“Bagaimanapun, kami juga tidak terlepas dengan cabaran dalam perniagaan terutamanya selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan kerajaan.

“Pada 2022, saya kehilangan majoriti daripada kira-kira 5,000 orang ejen dan stokis Hakak Maneh. Ketika itu, hanya tinggal sekitar 10 orang ejen,” katanya.

Sehubungan itu, Balkis mengambil pendekatan untuk melakukan perubahan dari segi kaedah perniagaan dan tidak mahu lagi terlalu bergantung kepada sistem stokis.

Sebaliknya, mereka mula menggunakan TikTok dan Facebook bagi menjual produk Hakak Maneh yang telah dipelbagaikan dengan pengenalan sambal ikan bilis bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Menurut ibu kepada seorang cahaya mata itu, hasil pendekatan tersebut, syarikatnya kembali meraih keuntungan, sekali gus menjadi pengalaman berharga baginya.

Dalam pada itu, Balkis berkata, memandangkan Hakak Maneh aktif di media sosial, ia membolehkan syarikatnya dipilih menerima Anugerah Usahawan Online Digital Negeri Perak 2023 dan 2025 daripada Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP).

Sehingga hari ini, terdapat sembilan produk yang dihasilkan syarikatnya termasuklah pekasam daging, pekasam telur sotong serta beberapa variasi sambal ikan bilis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN