fbpx
Solat Jumaat diwajibkan kepada mereka yang memenuhi syarat-syarat tertentu. -Gambar hiasan

Bolehkah solat Jumaat di kariah lain?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAYA ada satu kemusykilan. Saya tinggal dan bermastautin di Subang Jaya tetapi bekerja di Putrajaya. Adakah dibolehkan untuk saya solat Jumaat di masjid kariah lain?

JAWAPAN: KAMI mulakan dengan firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah al-Jumu‘ah : 9)

Ayat di atas adalah merupakan antara dalil pensyariatan dan kewajipan solat Jumaat. Selain itu, solat Jumaat juga adalah antara beberapa kelebihan yang dikurniakan khusus kepada umat Nabi Muhammad SAW supaya mereka mendapat kemuliaan hari Jumaat tersebut. (Lihat : al-Fiqh al-Manhaji, 1/198).

Solat Jumaat diwajibkan kepada mereka yang memenuhi tujuh syarat iaitu beragama Islam, baligh, berakal, merdeka (bebas) sepenuhnya, lelaki, sihat tubuh badan dan bermukim di tempat solat Jumaat didirikan.

Bagaimanapun, solat Jumaat tersebut tidak sah, melainkan setelah dia memenuhi empat syarat.

Pertama, solat Jumaat hendaklah didirikan di dalam kawasan binaan, sama ada di bandar atau di kariah yang mempunyai penduduk yang bermustautin tidak kurang daripada 40 orang lelaki yang cukup syarat-syarat wajib mendirikan Jumaat.

Kedua, bilangan jemaah bagi solat Jumaat adalah tidak kurang daripada 40 orang lelaki yang memenuhi syarat wajib Jumaat iaitu lelaki, baligh dan bermastautin.

Ketiga, solat Jumaat hendaklah didirikan dalam waktu zuhur.

Keempat, jangan didirikan lebih daripada satu solat Jumaat pada satu tempat selagi ia boleh dilakukan demikian.

Malahan, mereka wajib berhimpun pada satu tempat. Namun harus berbuat lebih daripada satu tempat jika tempat tersebut tidak dapat menampung bilangan jemaah yang ramai.

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, titik perbincangan adalah pada salah satu syarat sah solat Jumaat iaitu jemaahnya cukup sekurang-kurangnya 40 orang dan orang yang bermastautin.

Orang yang bermastautin adalah orang yang tinggal di suatu tempat dan tidak ada niat untuk berpindah ke tempat lain. [Lihat : Kamus Pelajar Edisi Kedua]

Maka kita fahami daripada kenyataan di atas, seseorang yang bermastautin perlu menunaikan solat Jumaat di kariahnya (tempatnya), melainkan ada keuzuran diizinkan oleh syarak.

Kesimpulannya, setelah kami melihat kepada pandangan para ulama serta hujah-hujah mereka kami menyimpulkan kepada beberapa perkara. Seseorang yang bermastautin di dalam satu kariah dan dia sedang berada di dalam kariah tersebut terbahagi kepada dua keadaan.

Pertama, sekiranya dia menjadi pelengkap kepada bilangan 40 orang di kariahnya, maka dia tidak boleh solat Jumaat di tempat lain melainkan ada keuzuran yang diizinkan syarak.

Sekiranya dia sengaja tidak solat di kariahnya, dia berdosa tetapi solatnya sah. Kedua, jemaah Jumaat di kariahnya ramai dan melebihi bilangan 40 orang.

Dalam situasi ini, dia boleh memilih untuk solat di masjid kariahnya atau tempat lain. Seseorang yang bermastautin tetapi sedang berada di luar kawasan kariahnya kerana ada keperluan seperti ziarah, bekerja atau lain-lain.

Bagi situasi ini, kami cenderung kepada pendapat bahawa mereka boleh solat Jumaat di mana-mana tempat selain kariah mereka.

Hal ini kerana mengambil kira kesukaran dan kesulitan dialami oleh mereka sekiranya hendak pulang segera ke kariah masing-masing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN