APAKAH hukum suami minta semula cincin dan gelang yang telah diberi atau dipakaikan semasa akad nikah selepas perceraian? Duit mas kahwin telah diberi asing mengikut kadar ketetapan negeri (RM300).
JAWAPAN: KAMI tidak menemui apa-apa dokumen perundangan yang meyakinkan dan menyokong kenyataan bahawa menjadi adat sebahagian negeri untuk memberikan semula pemberian ketika nikah kepada suami.
Dari satu sudut, adat berkenaan jika dipaksakan ke atas pihak perempuan, maka adalah salah satu bentuk bid’ah yang mungkar. Ini kerana mengikut hukum syarak, pihak lelaki yang sepatutnya memberikan pampasan mutaah kepada isteri dan bukannya daripada isteri yang telah ditalakkan.
Firman Allah:“Tidaklah kamu bersalah dan tidaklah kamu menanggung bayaran mas kahwin) jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka atau (sebelum) kamu menetapkan mas kahwin untuk mereka. Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi ‘Mut’ah’ (pemberian sagu hati) kepada mereka (yang diceraikan itu). Iaitu: suami yang senang (hendaklah memberi sagu hati itu) menurut ukuran kemampuannya; dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian sagu hati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan.” (Surah al-Baqarah: 236)
Firman Allah: “Dan isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat Mut’ah pemberian sagu hati) dengan cara yang patut, sebagai satu tanggungan yang wajib atas orang-orang yang taqwa.” (Surah al-Baqarah: 241)
Ayat ini mengandungi huruf lam al-tamlik yang membawa kepada pemilikan, dengan kadar mengikut uruf.
Maka tidak dikadarkan perkara yang tidak wajib, melainkan perkara itu wajib jua.
Oleh itu, siapa yang menegahnya adalah orang yang bukan bertaqwa, justeru, memberinya adalah kewajiban. (Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 3/184)
Dengan dalil ini, jelaslah bahawa kewajiban memberikan pampasan perceraian bukanlah tanggungjawab bekas isteri, sebaliknya adalah pihak suami.
Menuntut kembali pemberian adalah diharamkan. Berkata ulama, tidak dihalalkan kepada pemberi untuk meminta pulang barang yang telah diberikan, melainkan al-asl (bapa, ibu, datuk, dan nenek) meminta daripada al-far’ (anak dan cucu), dan pemberian bersyarat.
Ulama fiqh berkata, memakan muntah semula adalah haram, maka begitu jugalah perangai buruk siku. (Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 3/184)
Suami hanyalah boleh meminta balik pemberian yang diberikan ketika nikah jika tuntutannya itu adalah cerai secara khulu’.
Menurut Imam al-Nawawi “Khulu`” bermaksud pembubaran perkahwinan dengan suatu balasan, menggunakan lafaz talak atau khulu’. (Rujuk Minhaj al-Tolibin, ms. 226).
Firman Allah: “Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu).” (Surah al-Baqarah : 229)
Perceraian secara khulu’ perlu mempunyai sighah ijab dan qabul antara suami dan isteri yang ingin bercerai itu, seperti lafaz suami, “Aku ceraikan dikau dengan balasan gelang hantaran”, kemudian jawab isteri, “Aku terima,” atau, isteri menyebut, “Ceraikan aku, nanti aku berikan balik gelang hantaran,” kemudian dijawab oleh suami, “Baik, aku ceraikan kau.”
Jika sah ijab qabul itu, maka sahlah talak khulu’ dan wajiblah isteri itu serahkan balasan yang diminta.
Manakala mahar, itu menjadi milik mutlak pihak isteri. Memintanya kembali tanpa sebab khulu’ adalah haram dan berdosa.
Kesimpulannya, berdasarkan fakta dan keterangan di atas, kami berpendapat seperti berikut.
Pertama, kami tidak mengetahui adat setempat yang mewajibkan isteri memulangkan kembali hadiah yang diterima semasa pernikahan pada waktu perceraian.
Sekiranya adat itu wujud sekalipun, maka hukumnya adalah tertakluk kepada keredaan bekas isteri dan ihsannya, bukannya kewajiban.
Ini kerana, adat tidak boleh menghalalkan perkara haram, dan mengharamkan perkara halal.
Kedua, jika pemulangan hadiah itu adalah balasan dalam cerai khulu’, maka itu diharuskan kerana sifatnya adalah harta.
Justeru, isteri wajib memulangkan untuk menguatkuasakan sighah cerai khulu’.
Jika tidak dipulangkan, maka tidak berlaku cerai khulu’.
Ketiga, mahar tidak boleh dituntut oleh pihak suami sama ada dalam perkahwinan atau selepas perceraian, kerana itu adalah isteri yang diiktiraf berdasarkan nas al-Quran.
Penggunaan harta mahar oleh suami tertakluk dengan budi bicara dan ihsan pihak isteri. Apatah lagi merampas balik harta mahar itu adalah diharamkan.
Keempat, secara asasnya, apa-apa pemberian sudah termeterai pemilihan milik apabila berlakunya qabdh (penerimaan barang).
Justeru, tidak halal bagi seorang pemberi untuk buruk siku meminta kembali barang yang diberikan melainkan dalam kes-kes tertentu.














