fbpx
Pencarum KWSP boleh memindahkan lebihan simpanan kepada isteri dan anak.

RM19.87 bilion dikeluarkan daripada Akaun Fleksibel KWSP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sebanyak RM19.87 bilion wang simpanan daripada Akaun Fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah dikeluarkan oleh 5.5 juta ahli setakat 31 Mei lalu.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan bahawa trend pengeluaran itu sebahagian besarnya didorong oleh desakan hidup untuk menyokong keperluan harian.

“Antara tujuan utama pengeluaran adalah bagi memenuhi keperluan harian, diikuti perbelanjaan rawatan kesihatan dan pembayaran hutang,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Kenyataan tersebut dikemukakan bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen mengenai langkah kerajaan dalam memastikan daya tahan dana persaraan KWSP.

Berdasarkan laporan penyelidikan ‘Enduring Today, Shaping Tomorrow: Akaun Fleksibel as a Financial Lifeline for Wellbeing’ yang diterbitkan April lalu, baki simpanan yang tinggal dalam akaun tersebut kini berjumlah RM14.36 bilion.

Laporan itu turut memperincikan statistik sepanjang tempoh kajian dari Mei 2024 hingga Oktober 2025 yang menyaksikan kira-kira 37 peratus atau lima juta ahli membuat sekurang-kurangnya satu pengeluaran daripada Akaun Fleksibel.

Dalam tempoh yang sama, sebanyak 63 peratus atau 8.4 juta ahli pula dikesan tidak melakukan sebarang pengeluaran langsung daripada akaun ketiga tersebut.

“Dalam kalangan ahli yang tidak membuat pengeluaran, sebanyak 44 peratus mempunyai baki simpanan mencukupi tetapi memilih untuk mengekalkan simpanan mereka.

“Manakala 56 peratus pula tidak membuat pengeluaran disebabkan baki simpanan dalam Akaun Fleksibel adalah sifar atau terlalu rendah, iaitu di bawah amaun minimum RM50 untuk pengeluaran,” jelas laporan penyelidikan berkenaan.

Analisis mendalam pihak KWSP mendapati corak pengeluaran Akaun Fleksibel kini semakin stabil kerana jumlah pengeluaran bulanan yang merekodkan penurunan secara beransur-ansur kepada purata kira-kira RM440 sebulan bagi setiap individu sepanjang tempoh Januari hingga Disember 2025.

Bagi memastikan kelestarian pelan persaraan hari tua para pencarum tidak terjejas dalam jangka masa panjang, kerajaan bersama-sama KWSP akan terus memantau trend pengeluaran ini secara berterusan.

Selain itu, usaha memperkukuh literasi kewangan dalam kalangan ahli akan terus dipergiat bagi menggalakkan caruman tambahan secara sukarela, di samping mempromosikan pengurusan pelaburan yang lebih berhemat dan mampan serta melaksanakan penilaian dasar secara berkala. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN