“SAYA percaya kesihatan bukan sekadar merawat penyakit tetapi tentang memperkasa tubuh agar dapat berfungsi secara optimum, kekal cergas, produktif dan menikmati kualiti hidup yang lebih baik walaupun usia semakin meningkat.
“Alhamdulillah, selepas 17 tahun berada dalam industri kesihatan dan kesejahteraan, jenama kami diterima baik oleh masyarakat dan berjaya membina kepercayaan yang kukuh dalam kalangan pengguna.
“Kami sentiasa meletakkan sains, penyelidikan dan kualiti sebagai teras utama dalam setiap produk yang dibangunkan.”
Demikian mukadimah Pengarah Urusan Eskayvie yang juga pengamal undang-undang, Dr. Kartika Wati Mohamed kepada K-Wanita saat berkongsi mengenai perjalanan syarikat miliknya kini.
Menurut wanita kelahiran Tumpat, Kelantan ini, lebih daripada sekadar menjual produk kesihatan, Eskayvie hakikatnya membawa misi yang lebih besar.
Bagi wanita yang mesra disapa Dr. Kay ini, kejayaan sebenar Eskayvie bukan hanya diukur melalui angka jualan atau pertumbuhan syarikat, tetapi apabila mereka dapat membantu lebih ramai individu hidup dengan lebih sihat, membina keluarga sejahtera dan pada masa yang sama memperkasa ekonomi masyarakat.
Berkat kesabaran tanpa kenal erti lelah mahupun putus asa, pengiktirafan demi pengiktirafan telah dicapai Dr. Kay, 55, menerusi syarikat bumiputeranya dengan rangkaian produk kesihatan minda seperti Mindtropic dan Mindtropic Junior, kesihatan metabolik seperti Phytax, selain penjagaan pencernaan, sendi, otot dan kecantikan.

Antara anugerah yang telah diraih ibu kepada lapan cahaya mata ini termasuklah Best Woman Entrepreneur Award 2022- SME Corp Malaysia; Anugerah Khas Astro Inspirasi SeeNi; Titan Knight Award 2025 – Inner Circle Meeting (ICM), RichWorks, Titan Constant Growth Award 2025 -Inner Circle Meeting (ICM), RichWorks dan banyak lagi.
Ditanya bagaimana dia boleh melibatkan diri dalam bidang keusahawanan meskipun mempunyai latar belakang pendidikan dalam jurusan undang-undang, Dr. Kay ada ceritanya.
Menyorot kisah lampau, Dr. Kay berkata, segalanya bermula sejak kecil apabila kehidupan keluarganya mula berubah apabila bapanya memilih untuk bersara awal sebagai pegawai tentera.
Ketika itu ujar Dr. Kay, keluarganya melalui pelbagai cabaran dan kesukaran kewangan.
“Ibu dan ayah mencuba pelbagai jenis perniagaan untuk menyara keluarga dan ada antaranya tidak berjaya.
“Namun, pengalaman melihat jatuh bangun ibu bapa dalam perniagaan menjadi universiti kehidupan yang sangat berharga buat saya.
“Ia mengajar saya tentang erti ketabahan, daya tahan dan keberanian untuk bangkit semula setiap kali berdepan kegagalan.
“Pengalaman tersebut juga mendorong saya untuk mula berniaga seawal usia lapan tahun.
“Saya membuat sendiri cakar ayam daripada ubi keledek di waktu petang ketika kanak-kanak lain di usia yang sama masih bermain dengan dengan kawan-kawan,” katanya.
Meskipun perniagaan itu kecil, di situlah dia belajar tentang usaha, keuntungan, pengorbanan dan kepuasan mencari rezeki dengan titik peluh sendiri.
Mengenai kerjaya pula, Dr. Kay memulakan profesion sebagai peguam pada tahun 1996 sebaik menamatkan pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
“Selepas menimba pengalaman dalam bidang guaman, saya ambil keputusan untuk menubuhkan firma guaman sendiri, Kartika & Co pada tahun 1998.
“Sehingga hari ini, saya masih merupakan seorang pengamal undang-undang dan firma itu masih beroperasi di Kuala Lumpur dan Shah Alam.
“Satu fakta menarik, sejujurnya saya tidak pernah meninggalkan kerjaya guaman sepenuhnya kerana minat saya terhadap bidang undang-undang masih sangat mendalam.
“Bagi saya, undang-undang adalah asas kepada hampir semua perkara, termasuk dalam dunia perniagaan yang saya tubuhkan bersama suami bermula 2009,” katanya.

Jelas anak kedua daripada lima beradik ini, apa yang berlaku adalah dia memilih untuk mengembangkan diri ke dalam dunia keusahawanan dan bukanlah meninggalkan kerjaya lama.
Sejak kecil dia telah terdedah dengan perniagaan menerusi pengalaman melihat ibu bapa berniaga serta menghadapi pelbagai cabaran kehidupan, maka, jiwa keusahawanan sudah tertanam dalam dirinya.
“Jiwa keusahawanan itu sentiasa ada dalam diri saya. Saya melihat perniagaan bukan sekadar medium untuk menjana keuntungan, tetapi platform mencipta peluang, memberi manfaat kepada masyarakat dan membantu lebih ramai orang mengubah kehidupan mereka.
“Bagi saya, bidang guaman dan perniagaan saling melengkapi. Kerjaya sebagai peguam membentuk cara saya berfikir dan membuat keputusan, manakala dunia perniagaan memberi ruang saya merealisasikan impian yang lebih besar dan mencipta impak luas kepada masyarakat,” tuturnya.
Diaju mengenai cabaran hampir dua dekad mengasaskan perniagaan, Dr. Kay mengakui rintangan terbesar yang pernah dihadapi apabila jualan syarikat mula merosot pada tahun 2015.
Lebih parah dan keadaan menjadi semakin kritikal pada penghujung tahun 2016 apabila nyaris membuatkan syarikat mengambil keputusan untuk menutup perniagaan.
“Ketika itulah fasa yang sangat mencabar, bukan sahaja dari sudut perniagaan tetapi juga emosi dan mental.
“Sebagai pengasas, saya memikul tanggungjawab yang besar terhadap pekerja, pelanggan dan para usahawan yang bergantung kepada Eskayvie.
“Sudah tentu ada rasa takut dan kecewa, namun saya percaya setiap krisis datang bersama peluang untuk kita bangkit menjadi lebih baik,” katanya.
Ceritanya, apa yang membuatkan dia terus bertahan adalah keyakinan terhadap misi dan tujuan penubuhan Eskayvie itu sendiri.
“Saya benar-benar percaya bahawa apa yang kami lakukan memberi nilai tambah kepada masyarakat dan mampu membantu lebih ramai orang menjalani kehidupan yang lebih sihat.
“Apabila kita yakin dengan tujuan yang lebih besar, kita akan terus melangkah walaupun berdepan dengan pelbagai kesukaran,” katanya.
Pada masa sama, wanita yang minat memasak dan jaguh ‘baking’ ini mula sedar bahawa dia tidak mengharapkan hasil yang berbeza dengan melakukan perkara yang sama.
Justeru, dia mula melengkapkan diri dengan ilmu baharu, mendalami strategi perniagaan, mendapatkan bimbingan daripada mentor dan melihat semula keseluruhan model perniagaan kami.
“Kami juga berani melakukan inovasi dan transformasi terhadap model perniagaan supaya lebih relevan dengan keperluan pasaran dan perubahan tingkah laku pengguna.
“Saya percaya, dalam dunia perniagaan, kemampuan untuk berubah dan menyesuaikan diri adalah antara faktor paling penting untuk untuk kekal relevan.
“Pengalaman tersebut mengajar saya tentang pentingnya ‘grit dan resilience’ iaitu keberanian untuk tidak berputus asa dan keupayaan untuk terus bertahan walaupun keadaan kelihatan sangat sukar.
“Alhamdulillah, daripada hampir menutup perniagaan, Eskayvie berjaya bangkit semula dan berkembang sehingga ke tahap hari ini,” ungkapnya.
Pengalaman itu menjadi bukti bahawa setiap kegagalan dan cabaran sebenarnya adalah proses pembelajaran yang mempersiapkan seseorang untuk kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.
Lebih membanggakan, Dr. Kay turut memimpin pembangunan ekosistem kukuh melalui Eskayvie Nexus dengan lebih 100,000 usahawan berjaya dilahirkan menerusi Akademi Eskayvie.
“Eskayvie Nexus diwujudkan bukan sekadar untuk membina rangkaian perniagaan, tetapi dengan misi yang lebih besar iaitu memperkasa ekonomi dan kesihatan masyarakat.
“Sejak penubuhannya, platform ini telah melahirkan ribuan usahawan daripada pelbagai latar belakang iaitu suri rumah, ibu tunggal, penjawat awam, pesara, graduan dan golongan profesional yang kini berjaya menjana pendapatan sendiri.
“Impak terbesar Eskayvie Nexus adalah membuka peluang kepada ramai individu untuk mengubah taraf hidup mereka.
“Ada yang sebelum ini bergelut dengan masalah kewangan, ada yang kehilangan pekerjaan, malah ada yang tidak pernah mempunyai pengalaman dalam perniagaan.
“Namun melalui sistem latihan, bimbingan dan sokongan yang berterusan, mereka berjaya membina keyakinan diri, mengembangkan kemahiran keusahawanan dan menjana pendapatan yang membantu meningkatkan kesejahteraan keluarga,” katanya.
Ditanya perancangan seterusnya, Dr. Kay memberitahu aspirasi mereka adalah menjadikan Eskayvie bukan sekadar syarikat produk kesihatan tetapi sebuah ekosistem kesihatan dan kesejahteraan yang memberi impak besar kepada masyarakat di peringkat serantau.
Dari sudut perniagaan, syarikat akan terus memperkukuh penyelidikan dan pembangunan bagi menghasilkan lebih banyak produk berasaskan sains yang memenuhi keperluan kesihatan semasa dan masa hadapan.
“Fokus kami bukan hanya kepada kesihatan fizikal, tetapi juga bidang yang semakin mendapat perhatian seperti kesihatan minda, penuaan sihat (healthy longevity), kesejahteraan menyeluruh dan penjagaan kesihatan secara pencegahan.
“Kami juga berhasrat untuk memperluas kehadiran Eskayvie di pasaran antarabangsa dan memperkukuh lagi penggunaan teknologi digital, data dan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan pengalaman kesihatan yang lebih diperibadikan kepada pengguna,” katanya.
Selain membina jenama kesihatan yang kukuh, Dr. Kay berkata, pihaknya mahu terus memperkasa ekonomi masyarakat melalui Eskayvie Nexus.
Sasaran syarikat adalah untuk melahirkan lebih ramai usahawan yang berjaya, berdikari dan mampu menjadikan keusahawanan sebagai platform untuk mengubah kehidupan keluarga mereka.
“Secara peribadi, impian saya melihat Eskayvie menjadi sebuah jenama Malaysia yang bukan sahaja berjaya dari segi perniagaan, tetapi juga dikenali kerana impaknya dalam memperkasa ekonomi dan kesihatan masyarakat.
“Jika hari ini kami membawa misi ‘Memperkasa Ekonomi dan Kesihatan Ummah’, maka dalam lima hingga 10 tahun akan datang, kami mahu misi ini diterjemahkan kepada impak yang lebih besar,” katanya.














