fbpx
Tangkap layar video Syed Saddiq berhubung keputusan kes dihadapinya di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya esok.

[VIDEO] Kepada Allah saya berserah – Syed Saddiq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – “Saya sudah berusaha, selebihnya saya serahkan kepada Allah.”

Demikian kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung kes dihadapinya yang akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan di Putrajaya esok.

Menurutnya, hampir enam tahun melalui proses berkenaan, namun beliau tetap hadir ke mahkamah setiap kali dipanggil.

“Tiada penangguhan untuk saya, tiada jalan pintas, tiada layanan istimewa. Saya memilih mahkamah kerana di negara kita cintai, kebenaran mesti diuji dengan bukti dan keadilan ditegakkan melalui undang-undang, bukan kuasa.

“Pada 25 Jun tahun lalu, Mahkamah Rayuan sebulat suara, membebaskan dan melepaskan saya. Esok Mahkamah Persekutuan akan memberikan keputusan muktamad. Saya tidak akan mendahului mahkamah, saya hormati proses. Saya akan hadir dengan tenang,” katanya pada hantaran di media sosial malam ini.

Beliau berkata, sebarang perkara terjadi esok, beliau tidak akan menyesal mempertahankan prinsip dan suara hati tanpa mengira akibat yang terpaksa ditanggung.

“Kerana kepimpinan tidak diuji ketika semuanya mudah, ia diuji ketika masa depan dan kebebasan kita dipertaruhkan. Namun kita masih memilih jalan yang benar, bukan dendam.

“Bagi rakyat Muar dan seluruh Malaysia, jangan hanya doakan saya. Doakan Malaysia kekal sebagai negara di mana undang-undang melindungi semua, kawan atau lawan, yang berkuasa atau rakyat biasa.

“Kebenaran tidak perlukan kuasa untuk berdiri. Hasbunallah wani’mal wakil. Kepada Allah saya berserah,” katanya.

Kosmo! melaporkan, selepas ditangguhkan pada 30 Jun lalu, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya menetapkan esok bagi keputusan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq atas empat tuduhan berhubung dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Keputusan sama ada Syed Saddiq kekal bebas atau disabitkan bersalah akan ditentukan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais bersama Hakim Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah yang sebelum ini mendengar hujahan daripada kedua-dua belah pihak.

Pada prosiding rayuan itu, pendakwaan dibarisi Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya iaitu Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan, manakala Syed Saddiq, 33, selaku responden diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dana Armada RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Kuala Lumpur pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya, Kuala Lumpur pada 8 hingga 21 April 2018.

Syed Saddiq turut berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera yang merupakan hasil aktiviti haram.

Pada 30 Jun lalu, keputusan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq ditangguhkan ke 13 Julai selepas Hakim Che Mohd. Ruzima cuti sakit. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN