fbpx
ONN HAFIZ melambai tangan kepada wartawan selepas selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor di Istana Bukit Serene, Johor Bahru hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI/KOSMO!

Onn Hafiz dilantik MB Johor sekali lagi untuk penggal kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi secara rasmi dilantik semula sebagai Menteri Besar Johor bagi penggal kedua berturut-turut selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail susulan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.

Pelantikan itu dibuat selepas BN memperoleh mandat kukuh apabila berjaya menguasai 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus membolehkan kerajaan negeri terus dibentuk di bawah pimpinan gabungan berkenaan.

Istiadat pelantikan berlangsung di hadapan Tunku Mahkota Ismail sebelum Onn Hafiz mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai Menteri Besar Johor untuk menerajui pentadbiran negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.

Kejayaan BN menambah penguasaan daripada 40 kerusi pada PRN 2022 kepada 48 kerusi kali ini dilihat sebagai manifestasi keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Onn Hafiz serta dasar pembangunan yang diperkenalkan sepanjang empat tahun lalu.

Sepanjang pentadbirannya, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada agenda Maju Johor 2030, menarik pelaburan bernilai tinggi, mewujudkan peluang pekerjaan, memperkukuh pembangunan infrastruktur serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Ini merupakan kali kedua Onn Hafiz diberi kepercayaan memimpin Johor selepas pertama kali dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-19 pada 15 Mac 2022, susulan kemenangan BN pada PRN Johor 2022.

Ketika itu beliau mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Johor dan menggantikan Datuk Hasni Mohammad.

Pada pilihan raya tersebut, BN memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN sebelum Onn Hafiz dipilih menerajui kerajaan negeri walaupun beliau bukan calon Menteri Besar yang diumumkan lebih awal.

Kemenangan lebih besar pada PRN kali ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Onn Hafiz sebagai pemimpin kerajaan negeri dengan mandat yang lebih kukuh untuk meneruskan pelaksanaan agenda pembangunan Johor bagi penggal kedua.

Di DUN Machap, Onn Hafiz berjaya mempertahankan kerusinya selepas memperoleh 20,382 undi untuk menewaskan calon PH, Nur Hafiz Roslan dengan majoriti 15,375 undi.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN