fbpx
ANGGOTA Bomba menjalankan operasi SAR di Sungai Melaka bagi mengesan seorang lelaki yang dipercayai terjatuh ke dalam sungai. Foto JBPM

Lelaki terjatuh Sungai Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang lelaki berusia 45 tahun dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Melaka berhampiran Yayasan Toh Puan Zurina di sini, tengah malam semalam.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd. Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.03 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah bersama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) digerakkan ke lokasi.

Menurutnya, setibanya pasukan bomba di lokasi, mangsa dipercayai telah terjatuh ke dalam sungai berhampiran Yayasan Toh Puan Zurina.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air serta selaman oleh anggota PPDA di sekitar Sungai Melaka sehingga ke kawasan muara.

“Bagaimanapun, mangsa masih belum ditemui sehingga operasi ditangguhkan pada malam ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, kawasan pencarian turut dikecilkan berdasarkan penilaian dan maklumat yang diperoleh di lokasi bagi meningkatkan keberkesanan operasi.

“Operasi SAR ditangguhkan pada waktu malam atas faktor keselamatan serta keadaan persekitaran yang tidak mengizinkan. Operasi akan disambung semula esok dengan rondaan serta pemantauan di kawasan pencarian pada sesi pagi dan petang,” ujarnya.

Operasi itu melibatkan 15 anggota bomba daripada BBP Melaka Tengah dan BBP Masjid Tanah dengan bantuan sembilan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta tiga anggota Pasukan Polis Marin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN