PETALING JAYA – Pelumba Moto3 negara, Muhammad Hakim Danish Ramli, mempamerkan aksi prestasi memuaskan apabila berjaya menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Jerman di kedudukan ke-12 sebentar tadi.
Pada aksi di Litar Sachsenring itu, Hakim Danish yang mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi gagal meneruskan momentum cemerlang walaupun memulakan perlumbaan di petak ketiga.
Pelumba kelahiran Terengganu itu dilihat agak bergelut di zon pertengahan apabila berada di kedudukan ke-9 sebelum dipintas untuk menamatkan saingan di kedudukan ke-12.
Seperti dijangka, juara menjadi milik pelumba Red Bull KTM Ajo, Brian Uriarte selepas mencatat masa 33:02.69s, manakala Maximo Quiles daripada pasukan CFMOTO Gaviota Aspar Team dan Matteo Bertelle (LevelUp-MTA) melengkapkan kedudukan podium.
Kedudukan keseluruhan pelumba berusia 18 tahun itu kini terjatuh satu anak tangga di kedudukan ketujuh selepas meraih 86 mata selepas dipintas jaguh Indonesia, Veda Pratama dengan perbezaan empat mata.
Selepas mengharungi 11 perlumbaan musim ini, focus Hakim Danish akan dialihkan pada GP Britain di Litar Silverstone pada 7 hingga 9 Ogos depan. – KOSMO! ONLINE















