PETALING JAYA – Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani, keluarga diraja serta seluruh rakyat negara itu susulan pemergian Bapa Amir Qatar, Sheikh Hamad Khalifa Al Thani.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Allahyarham merupakan seorang pemimpin berwibawa yang berjaya mentransformasikan Qatar menjadi sebuah negara yang berpengaruh di peringkat serantau dan antarabangsa sepanjang 18 tahun pemerintahannya.
Menurut beliau, di bawah kepimpinan Sheikh Hamad, Qatar mencatat kemajuan ekonomi yang pesat selain muncul sebagai antara suara penting dalam pelbagai isu dunia.
“Keputusan baginda pada 2013 untuk menyerahkan tampuk pemerintahan kepada generasi baharu merupakan satu tindakan kenegaraan yang jarang disaksikan.
“Allahyarham juga merupakan sahabat akrab Malaysia serta tokoh yang dihormati di seluruh dunia Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman, selain berharap keluarga diraja serta seluruh rakyat Qatar dikurniakan ketabahan menghadapi saat dukacita itu.
“Semoga Allah SWT merahmati roh Allahyarham. Al-Fatihah,” katanya. – KOSMO! ONLINE















