DEMAM Piala Dunia FIFA 2026 yang berlangsung pada ketika ini membuatkan peminat-peminat pasukan bola sepak teruja memberi sokongan dan meletakkan harapan yang tinggi kepada pasukan kegemaran masing-masing.
Selain kekuatan dan skil para pemain, stadium yang menjadi tempat berlangsungnya perlawanan bola sepak turut memainkan peranan penting untuk melancarkan keseluruhan permainan.
Stadium dibina adakala melibatkan kos yang cukup tinggi. Sehubungan itu, pada minggu ini CitaRasa kongsikan lima stadium bola sepak termahal di dunia seperti dilaporkan oleh laman web Finance Football dan portal-portal lain.
1) Stadium SoFi – Amerika Syarikat
DI tangga pertama ialah Stadium SoFi yang menelan kos pembinaan AS$5.5 bilion (RM22 bilion) menjadikannya stadium termahal dunia. Merupakan singkatan daripada syarikat kewangan Social Finance Inc, stadium ini berkapasiti 70,240 tempat duduk.
Stadium SoFi pada asalnya berharga hanya AS$2 bilion (RM8 bilion) tetapi meningkat lebih dua kali ganda selepas banyak kelewatan pembinaan dan kos tambahan. Stadium SoFi akhirnya dibuka pada 2020. Terletak di Inglewood, Los Angeles, Amerika Syarikat, stadium ini dijadual menjadi hos upacara pembukaan serta penutup Sukan Olimpik pada 2028. Stadium ini juga menjadi salah satu tempat penganjuran Piala Dunia FIFA 2026 dan disebut sebagai ‘Stadium Los Angeles’. Antara perlawanan di stadium ini ialah suku akhir melibatkan Sepanyol menentang Belgium.
2) Stadium Allegiant – Amerika Syarikat
SIAP dibina pada tahun 2020, stadium Allegiant ini menelan belanja sebanyak AS$1.9 bilion (RM7.7 bilion) dengan kapasiti tempat duduk sebanyak 65,000. Ia juga menjadi stadium utama Universiti Nevada, Las Vegas (UNLV). Kemudahan lain merangkumi bumbung lut sinar untuk cahaya siang luar dan dinding yang boleh dibuka untuk pemandangan Las Vegas Strip.
Salah satu ciri yang paling mahal adalah stadium ini dibina dengan dua padang permainan berasingan. Yang pertama, diperbuat daripada rumput tiruan, digunakan untuk permainan kolej oleh UNLV.
Padang kedua pula diperbuat daripada rumput sebenar, ditanam di dalam ‘dulang tanah’ gergasi yang boleh digolekkan oleh beratus-ratus roda elektronik.

3) Stadium MetLife – Amerika Syarikat
DUA pasukan National Football League (NFL) yang paling terkemuka, New York Jets dan New York Giants berkongsi kos pembinaan stadium MetLife secara sama rata. Terletak di, New Jersey, Amerika Syarikat, stadium ini siap pada 2010 dengan menelan kos sebanyak AS$1.6 bilion (RM6.5 bilion).
Ia mempunyai kapasiti yang lebih besar daripada SoFi dengan 82,500 tempat duduk. Sejumlah teknologi pintar telah dimasukkan ke dalam reka bentuknya seperti nyalaan bahagian luar sama ada warna hijau Jets atau biru Giants (bergantung pasukan tuan rumah) serta memasang lebih 2,200 paparan HD di seluruh bangunan. ‘Stadium New Jersey’ ini turut menjadi lokasi bagi lapan perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 dengan perlawanan akhir dijadualkan berlangsung di sini.
4) Stadium Wembley – United Kingdom
SETERUSNYA ialah stadium Wembley yang siap dibina pada 2007 menelan kos sebanyak AS$1.5 bilion (RM6.1 bilion), harga yang tinggi itu didorong oleh, kejuruteraan yang kompleks, kos pembinaan yang melambung tinggi dan kelewatan projek.
Stadium ini merupakan stadium bola sepak kebangsaan England dan dengan itu menjadi tuan rumah kepada kebanyakan perlawanan besar di England dan perlawanan akhir Piala FA.
Ia dianggap sebagai salah satu stadium bola sepak paling terkenal di dunia dan hab untuk perlawanan Inggeris. Dengan 90,000 tempat duduk, ia merupakan stadium terbesar, ia merupakan stadium terbesar di United Kingdom dan stadium kedua terbesar di Eropah.
5) The Big O – Kanada
STADIUM Olimpik Montreal atau dikenali The Big O di Montreal, Kanada menelan kos keseluruhan AS$1.47 bilion (RM5.9 bilion) dengan kapasiti tempat duduk sekitar 66,308. Dibina pada pertengahan 1970-an, stadium ini merupakan lokasi utama Sukan Olimpik 1976. Ia digelar The Big O merujuk kepada reka bentuknya yang bulat seperti donut. Direka bentuk oleh arkitek Perancis, Roger Tallibert ia mewakili seni bina organik dengan bentuk yang berasal daripada ciri haiwan dan bunga. Ia bagaimanapun kini dalam proses renovasi dan dijangka dibuka semula pada 2028.















