JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor mengisytiharkan hari Isnin, 13 Julai 2026 sebagai Hari Cuti Peristiwa sempena kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pengisytiharan cuti itu dibuat atas limpah perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, sebagai tanda penghargaan kepada seluruh Bangsa Johor yang telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRN tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor bagi penggal kedua hari ini berkata, kerajaan negeri menghargai kematangan rakyat Johor dalam melaksanakan proses demokrasi dengan aman dan tertib.
“Pada masa sama, suka saya kongsikan, atas limpah perkenan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, Kerajaan Negeri Johor mengisytiharkan hari Isnin, 13 Julai 2026 sebagai Hari Cuti Peristiwa Negeri Johor.
“Pengisytiharan ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada seluruh Bangsa Johor yang telah menunaikan tanggungjawab dan amanah sebagai rakyat dalam Pilihan Raya Negeri Johor Ke-16,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Onn Hafiz merafakkan sembah menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas limpah perkenan melantik beliau sebagai Menteri Besar Johor.
Beliau turut merafakkan sembah menjunjung kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas kepercayaan yang diberikan untuk terus memikul amanah menerajui pentadbiran negeri.
Onn Hafiz berkata, beliau sedar setiap keputusan yang dibuat selepas ini akan memberi kesan kepada kehidupan jutaan rakyat Johor dan berjanji akan melaksanakan amanah dengan penuh keikhlasan, integriti serta tanggungjawab.-KOSMO! ONLINE















