fbpx
AMBULANS bersiap sedia di jeti bagi membantu mangsa bot terbalik di luar perairan Pulau Phu Quoc di Wilayah An Giang, selatan Vietnam, kelmarin. - AFP

15 pelancong India maut bot terbalik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HANOI – Sekurang-kurangnya 15 pelancong warga India disahkan terkorban selepas sebuah bot yang padat dengan penumpang terbalik ketika dalam perjalanan pulang daripada aktiviti melawat pulau di pulau peranginan popular, Phu Quoc, Vietnam kelmarin, lapor agensi berita The Sun UK.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 1 petang waktu tempatan, bot laju yang membawa 32 pelancong dan empat anak kapal itu dilaporkan terbalik secara tiba-tiba pada jarak kira-kira 400 meter dari pesisir pantai Phu Quoc, selepas bertolak dari Hon May Rut Ngoai.

Saksi mendedahkan keadaan laut yang bergelora serta reka bentuk bot yang tertutup menyebabkan ramai penumpang terperangkap di dalamnya, sekali gus menyukarkan usaha menyelamat.

“Hanya beberapa orang sahaja yang berjaya dibawa keluar dalam keadaan sedar,” kata salah seorang pemilik bot pelancong berhampiran yang tiba di lokasi kejadian lima minit selepas insiden berlaku.

Operasi menyelamat yang digerakkan oleh pasukan pengawal sempadan dan tentera laut Vietnam berjaya menyelamatkan 21 mangsa. 

Bagaimanapun, 15 penumpang iaitu 13 lelaki dan dua wanita  disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. 

Kesemua mayat mangsa telah dibawa keluar, manakala mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital berdekatan.

Dalam satu hantaran di platform  X, Kedutaan India di Vietnam menyifatkan insiden tersebut sebagai “tragedi”. 

Mereka menambah: “Butiran tepat mengenai insiden ini sedang dikenal pasti memandangkan operasi mencari dan menyelamat oleh pihak berkuasa tempatan masih lagi berjalan.”

Punca kejadian bot terbalik itu masih belum jelas dan penyiasat telah memulakan siasatan terhadap insiden maut tersebut. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN