fbpx
Mohamad Syafizi (kiri) didakwa atas pertuduhan mencuri wang tabung sebuah masjid di Mahkamah Majistret Tumpat hari ini.

Penganggur curi duit tabung masjid dijel lima bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TUMPAT – Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri wang tabung sebuah masjid di Wakaf Bharu dekat sini pada hujung bulan lalu.

Tertuduh, Mohamad Syafizi Md. Shuhairi, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Wan Ashrul Wan Afham Mohamad Azmi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mencuri wang tabung daripada milikan Masjid Putra Taman SBJ Putra, Wakaf Bharu di sini iaitu bangunan yang digunakan sebagai tempat simpanan harta kira-kira pukul 7 malam pada 30 Jun 2026.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mahfuzah Hamizah Mohd. Ariff manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Roshalizawati Muhammad.

Terdahulu, Mahfuzah Hamizah mencadangkan hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh memandangkan kesalahan itu melibatkan kecurian di dalam masjid.

Roshalizawati dalam rayuannya memohon hukuman yang minimum dengan alasan tertuduh yang masih bujang dan tidak bekerja sudah insaf dengan perbuatan tersebut.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima bulan bermula tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 2 Julai lalu.

Pada prosiding sama, tertuduh turut mengaku bersalah atas pertuduhan memberikan kepada dirinya dadah jenis methamphetamine di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat di sini pada 2 Julai lalu.

Mahkamah menetapkan 13 Oktober depan untuk serahan laporan kimia dan prosiding jatuh hukum bagi kes itu.

Berdasarkan fakta kes, pihak Masjid Putra Taman SBJ Putra, Wakaf Bharu di sini membuat laporan selepas sebaik menyedari tabung wang di masjid tersebut diumpil.

Pemeriksaan rakaman sistem televisyen litar tertutup mendapati tertuduh memasuki kawasan masjid itu kira-kira pukul 7 malam sebelum mencuri wang di dalam tabung.

Difahamkan, tertuduh mencuri wang tunai sebanyak RM50 dari tabung masjid berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN