fbpx

RM225 bilion pelaburan diluluskan cipta hampir 90,000 pekerjaan tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Malaysia berjaya menarik pelaburan diluluskan berjumlah RM225 bilion merentasi sektor perkhidmatan, pembuatan dan sektor primer dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Ia merupakan peningkatan sebanyak 6.6 peratus dari segi nilai berbanding tempoh sama tahun lalu, disokong oleh 3,949 projek pelaburan yang membuka 89,495 peluang pekerjaan baharu, memperlihatkan daya tahan Malaysia di sebalik arus global yang tidak menentu.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam satu kenyataan hari ini berkata, Pelaburan Langsung Asing (FDI) membentuk 55.9 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, berjumlah RM125.7 bilion.

Belanda muncul sebagai sumber utama FDI, menyumbang RM35 bilion diikuti Singapura (RM20.4 bilion), Amerika Syarikat (RM18.9 bilion), China (RM11.6 bilion) dan Jepun (RM11.2 bilion).

“Sementara Pelaburan Langsung Domestik (DDI) menyumbang RM99.3 bilion, atau 44.1 peratus daripada jumlah pelaburan diluluskan, mewakili peningkatan mengagumkan sebanyak 45.2 peratus tahun ke tahun.

“Ini bukti keyakinan pemain tempatan terhadap prospek negara,” katanya.

TENGKU ZAFRUL

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, angka tersebut merupakan pencapaian terbaik Malaysia untuk tempoh yang sama dalam sedekad yang lalu, juga peningkatan ketara berbanding purata 10 tahun pelaburan swasta yang diluluskan iaitu sebanyak RM222.6 bilion.

“Pencapaian ini adalah bukti daya tarikan Malaysia yang berterusan sebagai destinasi pelaburan, serta kerjasama seluruh kerajaan dan seluruh negara dalam menarik, memudahkan dan mengekalkan pelaburan, sambil meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan di bawah rangka kerja Ekonomi Madani.

“Aliran masuk pelaburan dari negara seperti Belanda, Singapura, Amerika Syarikat, China, dan Jepun mencerminkan jenis pelaburan strategik berteknologi tinggi yang disasarkan Malaysia daripada pemain global.

“MITI dan agensinya, MIDA akan terus meletakkan Malaysia sebagai destinasi berdaya maju dan stabil untuk secara strategik menangkap lebih banyak aliran masuk daripada reka semula rantaian bekalan di landskap pelaburan peringkat global, selaras dengan transformasi perindustrian seperti yang ditetapkan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030,” tambah beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI