PETALING JAYA – Penemuan siasatan Seksyen 301 oleh Pejabat Perwakilan Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) berhubung isu buruh paksa tidak bermaksud Malaysia telah mengamalkan buruh paksa atau mencerminkan keadaan sebenar tenaga kerja di negara ini.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan, apa yang dinyatakan dalam laporan USTR ialah Malaysia masih belum mempunyai undang-undang khusus untuk menyaring barangan dan bahan mentah yang diimport dari negara ketiga di mana mungkin mengandungi elemen buruh paksa.
“Malaysia mempunyai rangka kerja undang-undang domestik yang komprehensif melarang buruh paksa, antaranya Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Akta Pekerjaan 1955 dan Piawaian Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) Akta 2021, Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011, dikuatkuasakan dengan ketat oleh pihak berkuasa yang berkaitan,” kata MITI.
MITI berkata, pada 2 Jun lalu, USTR menerbitkan penemuan siasatan Seksyen 301 berhubung buruh paksa terhadap Malaysia dan mencadangkan tarif sebanyak 10 peratus ke atas barangan negara inu selepas tamatnya tarif sementara Seksyen 122 pada 24 Julai depan.
Menurut kementerian itu, kadar berkenaan merupakan yang lebih rendah daripada dua kadar tarif yang dicadangkan dan terpakai kepada semua 60 negara yang disiasat.
“Malaysia menerima kadar yang lebih rendah ini sebagai pengiktirafan terhadap komitmen negara di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) dengan Amerika Syarikat untuk melaksanakan larangan import yang melibatkan buruh paksa.
“Negara yang tidak mempunyai komitmen sedemikian berdepan kadar tarif yang lebih tinggi iaitu 12.5 peratus,” katanya.
Mengulas lanjut, MITI menegaskan tiada keputusan muktamad berhubung tarif yang dikenakan ke atas Malaysia setakat ini kerana tarif 10 peratus yang diumumkan hanyalah satu cadangan tindakan.
Katanya, sebarang kadar tarif hanya akan dikenakan selepas USTR melengkapkan keseluruhan proses siasatan dan mengeluarkan keputusan rasmi.
“Cadangan tersebut kini tertakluk kepada proses perundingan awam.Permohonan untuk hadir dalam sesi pendengaran bersama ringkasan keterangan perlu dikemukakan sebelum 22 Jun 2026, manakala ulasan bertulis perlu dihantar sebelum 6 Julai 2026 dan sesi pendengaran awam dijadualkan berlangsung pada 7 Julai 2026,” ujarnya.
Tambah MITI, Malaysia akan terus berinteraksi secara aktif dengan USTR sepanjang proses itu bagi mengemukakan pendirian negara dan melindungi kepentingan perdagangan Malaysia.
Dalam perkembangan sama, kementerian itu turut menegaskan Malaysia tidak mempunyai kapasiti industri berlebihan yang boleh memesongkan atau mengganggu pasaran global.
“Output industri Malaysia adalah berdasarkan permintaan sebenar pasaran. Malaysia telah mengemukakan bukti terperinci bagi menyokong pendirian tersebut dan akan mempertahankannya di hadapan USTR.
“Setakat ini, USTR masih belum mengeluarkan sebarang penemuan atau mencadangkan tindakan berkaitan siasatan tersebut,” katanya.
MITI menambah, Malaysia merupakan sebuah negara perdagangan yang bertanggungjawab dengan perlindungan pekerja secara kukuh serta komitmen teguh terhadap perdagangan yang adil.
“Kerajaan akan terus libat urus dengan Amerika Syarikat di semua peringkat dan akan memberikan maklumat terkini selanjutnya apabila proses itu berjalan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.














