PETALING JAYA – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan pendapatan pelaburan sebanyak RM27.73 bilion bagi suku pertama (S1) 2026, meningkat 51 peratus berbanding RM18.31 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, prestasi kukuh itu didorong keputusan portfolio yang dibuat lebih awal bagi merealisasikan keuntungan menjelang jangkaan ketidaktentuan pasaran.
Menurut beliau, langkah tersebut mempercepatkan penjanaan pendapatan yang sepatutnya diagihkan sepanjang tahun.
“Bagaimanapun, prestasi suku pertama itu tidak wajar dijadikan petunjuk bagi prestasi suku berikutnya kerana keadaan sama mungkin tidak berulang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bagi prestasi mengikut kelas aset, ekuiti menyumbang pendapatan terbesar sebanyak RM20.34 bilion, meningkat 88 peratus berbanding RM10.80 bilion yang direkodkan pada suku pertama 2025.
Katanya, instrumen pendapatan tetap pula menyumbang RM6.76 bilion atau 24 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan, sekali gus berfungsi sebagai komponen defensif dalam portfolio pelaburan KWSP.
“Hartanah dan infrastruktur merekodkan pendapatan RM0.19 bilion manakala instrumen pasaran wang menjana RM0.44 bilion.
“Ia menjadikan jumlah aset pelaburan KWSP kini mencecah RM1.44 trilion dengan 36 peratus daripadanya dilaburkan di peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Ahmad Zulqarnain berkata, pelaburan global menyumbang RM15.36 bilion atau 55 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan suku tersebut.
Dari segi keahlian, katanya, KWSP merekodkan 220,925 ahli baharu, menjadikan jumlah keseluruhan ahli melebihi 18.3 juta.
Menurutnya, jumlah ahli aktif menyaksikan peningkatan kepada 10.8 juta dengan nisbah ahli aktif kepada tidak aktif bertambah baik kepada 59:41.
“Jumlah caruman meningkat 13.3 peratus kepada RM38.01 bilion berbanding RM33.54 bilion tahun lalu. Caruman sukarela turut meningkat kepada RM8.83 bilion,” jelasnya.
Beliau menambah, bilangan ahli sektor formal yang mencarum melebihi kadar berkanun melalui i-Topup juga meningkat 19.8 peratus kepada 232,305 orang. – KOSMO! ONLINE














