Baru-baru ini, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan inisiatif i-Legasi dan i-Emas selain Kalkulator Matlamat Persaraan.
Inisiatif yang bertujuan memperkasakan masa depan persaraan pencarum itu bagaimanapun, mendapat reaksi bercampur-baur dalam kalangan ahlinya.
Bagi mereka yang membantah inisiatif itu, pelbagai kata-kata sinis dan tuduhan terhadap KWSP serta kerajaan ditulis menerusi komen-komen di media sosial.
Antara komen yang ditulis bagi mengulas pelaksanaan inisiatif itu seperti ‘i-Tak Suka, ‘i-Tak Kisah’, ‘i-Spin’, i-Tak Minat’, ‘i-Keluar’, ‘i-Nak Duit’ dan ‘i-Penat’.
Kata mereka, ‘lain yang diharapkan, lain pula yang dapat’. Sebelum hari raya lalu, sebahagian pencarum berharap agar semua dividen KWSP dikreditkan terus ke Akaun 3.
Namun, harapan itu berkecai apabila mengikut struktur undang-undang, pengkreditan dividen mesti disalurkan ke akaun asal simpanan tersebut (Akaun 1, Akaun 2 dan Akaun 3/Fleksibel) berdasarkan kadar peratusan ditetapkan.
Sebahagian pencarum pula menyambut baik inisiatif itu. Antara yang mencuri perhatian ialah i-Legasi.
Kemudahan ini membolehkan ahli memindahkan sebahagian simpanan KWSP kepada pasangan atau anak-anak selepas mencapai umur pengeluaran penuh.
Langkah ini membuka ruang kepada perancangan kewangan keluarga lebih tersusun tanpa menjejaskan simpanan persaraan sendiri, selagi baki minimum RM650,000 dikekalkan mengikut Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan.
Ia juga membantu pencarum merancang pembahagian harta semasa masih hidup, boleh menentukan siapa yang dapat, mengurangkan pertikaian keluarga dan lebih telus.
Inisiatif i-Emas yang dijenamakan semula pula membolehkan pesara menerima duit KWSP secara bulanan, bukan sekali gus. Ia ibarat ‘gaji bulanan’ selepas berhenti kerja dan mengurangkan risiko kehabisan wang persaraan lebih cepat.
Ketika ini ramai pesara mengeluarkan duit KWSP sekali gus dan sebahagian mereka habis dalam masa singkat dengan membeli kenderaan baharu, naik taraf rumah, melancong ke luar negara dan berhabis wang untuk majlis perkahwinan anak-anak.
Pengeluaran wang secara bulanan juga dapat menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa scammer.
Selain itu, i-Emas juga membolehkan simpanan masih berkembang. Baki dalam KWSP masih boleh menerima dividen tahunan umpama duit tidak ‘mati’ selepas bersara.
Dengan pendapatan bulanan, perancangan kewangan lebih teratur, gaya hidup lebih stabil, dapat mengelakkan tekanan kewangan mendadak serta mengurangkan kebergantungan kepada anak-anak.
Ia juga membantu simpanan tahan lebih lama dan mengelakkan risiko kehabisan duit sebelum meninggal dunia.
Bagaimanapun, terpulang kepada pencarum itu sendiri sama ada mahu KWSP menguruskan duit persaraan atau mereka sendiri yang mengendalikannya.
Tiada paksaan untuk mengambil inisiatif itu, namun KWSP cuba membantu pencarum bagi memastikan simpanan persaraan diurus secara lebih terancang, konsisten dan berdaya tahan untuk jangka panjang.
















