GEORGE TOWN – Seorang perunding teknologi maklumat (IT) kerugian hampir RM1.5 juta selepas terperdaya dengan sindiket penipuan pelaburan mata wang kripto secara dalam talian.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, mangsa berusia 63 tahun itu mula terjebak dalam skim pelaburan itu selepas melihat iklan pelaburan mata wang kripto di aplikasi Facebook pada Disember 2023.
“Mangsa kemudian menekan pautan pada iklan tersebut dan berhubung dengan suspek menerusi WhatsApp. Mangsa ditawarkan pelaburan dikenali sebagai ‘Crypto Kakaue’ yang melibatkan urusan jual beli mata wang kripto USDT,” katanya.
Azizee berkata, mangsa kemudiannya menyertai kumpulan WhatsApp dikenali sebagai ‘Saham Mececah Hati Orang’, yang memberikan penerangan berkaitan pelaburan berkenaan serta menawarkan pulangan keuntungan lumayan.
Katanya, mangsa turut diarahkan memuat turun aplikasi pelaburan dikenali sebagai ‘Kakaue’ dan menjalankan urusan pembelian mata wang kripto USDT melalui individu yang berhubung dengannya menerusi WhatsApp.
“Di antara Mac hingga September 2024, mangsa melakukan sembilan transaksi pemindahan wang ke enam akaun bank milik syarikat yang diberikan oleh suspek membabitkan jumlah keseluruhan RM1,494,410.
“Bagaimanapun, selepas semua transaksi dibuat mangsa tidak dapat mengeluarkan atau memindahkan keuntungan serta modal yang dipaparkan dalam aplikasi itu ke akaun peribadinya,” ujarnya.
Azizee berkata, menyedari dirinya diperdaya, mangsa tampil membuat laporan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya pada Sabtu lepas. – KOSMO! ONLINE













