fbpx
Nancy ketika memberikan ucaptama pada Majlis Meja Bulat Ekonomi Penjagaan ABAC Malaysia 2026 di Hotel St Regis, Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI/KOSMO!

Ekonomi penjagaan berpotensi sumbang RM77 bilion kepada negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pelaburan dalam ekonomi penjagaan berpotensi menyumbang kira-kira RM77 bilion setahun kepada ekonomi negara atau bersamaan lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sistem penjagaan yang lebih mudah diakses dan boleh dipercayai mampu meningkatkan penyertaan tenaga kerja dan memberi impak besar kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Menurutnya, isu penjagaan tidak lagi boleh dilihat sebagai tanggungjawab sosial semata-mata, sebaliknya perlu diiktiraf sebagai keperluan ekonomi yang penting dalam menghadapi perubahan demografi negara.

“Kes untuk melabur dalam penjagaan bukan sekadar kes sosial, ia adalah satu keperluan ekonomi. Membolehkan penyertaan tenaga kerja yang lebih besar melalui sistem penjagaan yang lebih mudah diakses dan boleh dipercayai boleh menyumbang kira-kira RM77 bilion setiap tahun kepada ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucaptama pada Majlis Meja Bulat Ekonomi Penjagaan ABAC Malaysia 2026 di Hotel St Regis, Kuala Lumpur hari ini.

Nancy berkata, Malaysia dijangka memasuki fasa negara menua menjelang 2050 apabila golongan berusia 60 tahun ke atas diunjurkan merangkumi kira-kira 15.3 peratus daripada populasi negara.

Katanya, situasi itu berlaku seiring dengan kadar kesuburan yang terus menurun daripada enam kelahiran bagi setiap wanita pada 1960 kepada sekitar 1.6 kelahiran pada masa ini, jauh di bawah paras penggantian 2.1 kelahiran bagi setiap wanita.

“Trend ini menandakan tenaga kerja masa hadapan yang mengecil dan beban pergantungan yang semakin meningkat yang memerlukan sistem penjagaan dan sokongan yang lebih kuat,” ujarnya.

Beliau berkata, kajian oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia menganggarkan kerja penjagaan dan domestik tidak berbayar bernilai kira-kira RM379 bilion setahun, manakala sekitar 3.2 juta rakyat Malaysia berdepan kekangan untuk menyertai tenaga kerja sepenuhnya akibat tanggungjawab penjagaan.

Tambahnya, kementerian turut memperkenalkan latihan TVET Penjagaan atau MTVET bagi melahirkan lebih ramai penjaga profesional yang terlatih dalam bidang penjagaan warga emas, orang kurang upaya serta sokongan psikososial selaras dengan permintaan semasa dan masa hadapan.

Pada masa sama, Nancy menegaskan pengukuhan ekonomi penjagaan tidak boleh bergantung kepada usaha kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama sektor swasta, penyedia perkhidmatan penjagaan dan komuniti bagi membina ekosistem penjagaan yang lebih mampan.

Katanya, ekonomi penjagaan perlu diangkat sebagai pemboleh strategik yang menyokong produktiviti, kesejahteraan sosial dan daya tahan negara dalam jangka panjang.

“Tindakan yang kita ambil hari ini dalam melabur, menyusun dan menghargai penjagaan akan menentukan bentuk masyarakat dan ekonomi yang akan diwarisi generasi akan datang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN