KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki warga emas berputih mata kerugian RM50,692 akibat diperdaya skim pelaburan yang tidak wujud.
Tambah menyedihkan, mangsa berusia 63 tahun yang tidak bekerja itu sanggup menjual sebidang tanahnya semata-mata mahu dijadikan modal skim pelaburan palsu berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, lelaki warga emas tersebut tertarik dengan iklan skim pelaburan tersebut yang dilihatnya di laman Facebook pada pukul 4.01 petang, 27 April lalu.
“Mangsa kemudiannya menekan pautan diberikan sebelum disambung dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp.
“Dia kemudiannya diterangkan dengan skim pelaburan tersebut yang kononnya menjanjikan keuntungan lumayan dalam tempoh sesingkat tiga jam sahaja,” katanya di sini, hari ini.
Azli berkata, lelaki tersebut memilih pakej pelaburan RM350 sebelum terus diberikan imbuhan RM300.
Beliau berkata, warga emas itu tambah teruja apabila pelaburannya kononnya terus melonjak kepada RM20,039.68 pada hari sama.
“Mangsa kemudiannya membayar RM1,450 kononnya untuk mengeluarkan keuntungan pelaburan diperolehi terbabit sebelum terus diminta untuk membuat pembayaran lain berjumlah keseluruhan RM50,392,” katanya. – KOSMO! ONLINE














