LANGKAWI – Percutian sebuah keluarga di daerah ini berakhir dengan tragedi apabila seorang lelaki lemas ketika cuba menyelamatkan adik dan anak saudaranya yang dipukul ombak di Pantai Tanjung Rhu, di sini hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 2 petang itu dan mangsa, Mohd. Fadhilah Abdul Halim, 42, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Maliha di sini.
Adik mangsa, Husna, 28, dan anak saudaranya, Nasuha Mohd. Asrul, 19, yang berjaya diselamatkan pula masih dirawat di Wad Kecemasan hospit.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin berkata, ketika kejadian, ketiga-tiga mangsa yang berasal dari Kampung Kubang Bemban, Mukim Tekai Kanan, Naka berada di pulau peranginan ini untuk bercuti.
Katanya, mereka bersama ahli keluarga tiba di pantai berkenaan pada pukul 1.30 tengah hari.
“Pada pukul 2 petang, salah seorang ahli keluarga mangsa melihat Husna dan Nasuha dalam keadaan tercungap-cungap di dalam air akibat dipukul ombak kuat.
“Mohd. Fadhilah bertindak menyelamatkan kedua-dua mereka, namun tidak berjaya. Sebuah bot yang berada berhampiran menuju ke arah mangsa sebelum menarik tangan mereka,” katanya.
Menurut beliau, ketiga-tiga mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Maliha, namun Mohd. Fadhilah disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital. Dua lagi mangsa disahkan selamat dan menerima rawatan hospital sama. – KOSMO! ONLINE














