KUALA TERENGGANU – Perubahan ekosistem dan landskap Sungai Terengganu akibat banjir didakwa menjadi punca seorang penternak kerugian hampir RM150,000 apabila lebih 20,000 ekor ikan baung peliharaannya di Kampung Beladau Kepong di sini, mati.
Mohd. Muhafizi Mustafa, 38, berkata, kejadian mengejut sejak awal minggu ini itu berlaku apabila paras air sungai turun menyebabkan pengumpulan pasir dan lumpur ke dalam sangkar ikan peliharaan terlibat.
Katanya, keadaan itu menyebabkan paras oksigen menurun hingga menyebabkan kematian ikan-ikan baung tersebut.
“Pada mula cuma tiga sangkar ikan saya terjejas pada Isnin lalu, namun kini telah merebak kepada 10 sangkar.
“Ia kerugian terbesar pernah saya hadapi sejak sangkar ikan ini mula diusahakan pada tahun 2000,” katanya.
Menurut Mohd. Muhafizi, kesemua ikan-ikan tersebut seberat antara 400 gram dan sekilogram yang sepatutnya sudah boleh dipasarkan.
Pengerusi MyKomuniti Perikanan Kampung Beladau Kepong itu berkata, bekalan ikan baung yang mati tersebut sebenarnya sudah mempunyai pembeli pada harga borong RM15 sekilogram.
“Rakaman televisyen litar tertutup mengesan paras air Sungai menyusut dengan ketara sehingga mendedahkan beting pasir dan menghentikan aliran air sejak akhir-akhir ini.
“Saya percaya ia berpunca daripada bencana banjir yang kerap berlaku di kawasan ini sejak tahun 2022 sehingga mengubah landskap sungai,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd. Muhafizi merayu pihak berkaitan segera mengatasi masalah tersebut dan mencadangkan agar timbunan pasir dan lumpur yang terhasil segera dikorek bagi mengelakkan insiden sama berulang.
“Kali ini hanya sangkar ikan saya yang terjejas, selepas ini mungkin kena kepada penternak lain pula jika isu ini tidak diselesaikan segera,” katanya.














