JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan tegurannya berhubung Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dibuat atas dasar tanggungjawab pentadbiran negeri dan bukannya untuk tujuan politik atau dijadikan bahan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).
Onn Hafiz berkata, kenyataan itu dibuat susulan keperluan memastikan setiap inisiatif strategik yang memberi impak besar kepada pembangunan Johor dapat dilaksanakan mengikut jadual serta memberikan keyakinan kepada pelabur.
Menurutnya, beliau sedar dirinya bukan bertaraf Perdana Menteri, namun berpandangan bahawa setiap kenyataan daripada pemimpin nombor satu negara perlu berasaskan fakta yang tepat.
“Saya sedar saya bukan bertaraf Perdana Menteri, namun dengan penuh hormat saya berpandangan bahawa apabila seseorang berada di kedudukan sebagai pemimpin nombor satu negara.
“Setiap kenyataan yang dibuat mestilah berasaskan fakta yang tepat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu dipercayai sebagai respons kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini dilaporkan menyifatkan Menteri Besar Johor tidak berterima kasih selain mendakwa isu JS-SEZ dijadikan bahan kempen PRN Johor.
Onn Hafiz berkata, Pelan Induk JS-SEZ merupakan dokumen Kerajaan Malaysia yang tidak memerlukan kelulusan Kerajaan Singapura, sebaliknya hanya melibatkan proses libat urus serta maklum balas daripada negara itu.
Menurut beliau, proses tersebut juga telah selesai dan hanya menunggu pelancarannya oleh kementerian berkaitan atau menerusi majlis yang diputuskan Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, kenyataan bahawa pelan induk itu masih memerlukan persetujuan pada Leaders’ Retreat serta tandatangan Perdana Menteri kedua-dua negara disifatkan sebagai tidak tepat dan boleh mengelirukan rakyat.
Katanya, beliau membangkitkan perkara itu bukan untuk mencela atau menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya bagi memastikan kepentingan Johor dan rakyat terus diberikan keutamaan.
“Ramai pelabur sedang menantikan pelancaran pelan induk ini kerana ia mampu meningkatkan keyakinan pelabur untuk terus melabur dalam JS-SEZ, sekali gus memberi manfaat kepada Johor dan Kerajaan Pusat,”katanya.
Beliau turut menegaskan kenyataan yang kurang tepat berhubung perkara strategik seperti JS-SEZ boleh menimbulkan persepsi negatif serta memberi kesan terhadap keyakinan pelabur.
Pada masa sama, beliau menegaskan fokus utama kerajaan negeri ketika ini adalah memastikan segala perancangan pembangunan dan pelaburan di Johor dapat diteruskan demi manfaat rakyat serta pertumbuhan ekonomi negeri.-KOSMO! ONLINE














