PETALING JAYA – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengetuai delegasi Kerajaan Malaysia bagi memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah bekas Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Seyyed Ali Khamenei di Grand Mosalla, Tehran, semalam.
Mohamad berkata, kehadiran delegasi itu mewakili Kerajaan Malaysia sebagai tanda penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
“Saya hadir mengetuai delegasi Kerajaan Malaysia bagi memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah bekas Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Seyyed Ali Khamenei di Grand Mosalla.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT, diampunkan segala dosanya serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah,” katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.
Mohamad mengetuai rombongan rasmi Malaysia yang menghadiri istiadat penghormatan terakhir terhadap Ali Khamenei sebelum upacara pengebumian berlangsung.
Sebelum ini, media melaporkan upacara penghormatan terakhir kepada Ali Khamenei diadakan secara berperingkat bermula di Tehran sebelum diteruskan ke Qom, Najaf dan Karbala.
Jenazah Ali Khamenei dijadualkan dikebumikan di Imam Reza Shrine di Mashhad pada 9 Julai. – KOSMO! ONLINE














