SEBERANG PERAI – Malaysia menyambut baik persefahaman yang dicapai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang disifatkan mampu meredakan ketegangan geopolitik serantau, sekali gus memberi impak positif terhadap ekonomi dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang bentuk persefahaman atau perjanjian komersial yang dapat mengurangkan konflik di rantau Asia Barat merupakan berita baik kepada seluruh dunia, termasuk negara-negara ekonomi kecil yang bergantung kepada kestabilan perdagangan antarabangsa.
”Ini berita yang amat baik untuk kita semua kerana penutupan laluan atau ketegangan di rantau berkenaan hampir pasti memberi kesan kepada industri, ekonomi dan menyebabkan kenaikan harga yang akhirnya membebankan rakyat.
”Saya telah menyampaikan kenyataan serta pandangan kepada Presiden Amerika Syarikat dan Presiden Republik Islam Iran. Sebagai sebuah negara dengan ekonomi yang sedang berkembang, kita amat mengalu-alukan perkembangan ini,” katanya berucap pada majlis perasmian pembukaan kilang MKS Instruments Malaysia di sini hari ini.
Khamis lalu, Iran mengesahkan pihaknya telah menandatangani perjanjian dengan Washington untuk menamatkan perang di Asia Barat, seperti yang diumumkan lebih awal oleh Presiden AS, Donald Trump.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei berkata, Teks Memorandum Persefahaman Islamabad telah dimuktamadkan dengan tandatangan kedua-dua presiden dan kini tiba masanya untuk menguji pelaksanaan perjanjian itu.
Anwar berkata, beliau berharap keamanan yang dicapai dapat dikekalkan dalam jangka panjang serta diperluaskan ke seluruh rantau Asia Barat.
Katanya, semua negara berkaitan termasuk negara-negara Arab dan Israel perlu memainkan peranan bagi memastikan keamanan serantau terus terpelihara.
”Rakyat mungkin tidak menyedari bahawa pergolakan di tempat yang jauh boleh menjejaskan kehidupan seharian masyarakat biasa. Golongan yang paling terkesan ialah mereka yang miskin dan terpinggir.
”Keadaan yang menyebabkan kesukaran hidup kepada rakyat akibat konflik berpanjangan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan amat kejam,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar memberitahu, negara terus mengekalkan pendirian berkecuali dan bebas dalam dasar luarnya dengan memperkukuh hubungan serta kerjasama strategik dengan semua negara, termasuk kuasa besar dunia demi kepentingan ekonomi dan masa depan negara.
Jelasnya, pendirian tersebut membolehkan Malaysia berinteraksi secara seimbang dengan negara-negara di Timur dan Barat di samping mengekalkan kemerdekaan serta kedaulatan dalam menentukan hala tuju negara. – KOSMO! ONLINE














