NEW DELHI – India semalam meluluskan pembelian pelbagai peralatan ketenteraan untuk angkatan tenteranya bernilai AS$5.46 bilion (RM22.23 bilion).
Peruntukan itu diluluskan oleh Majlis Pemerolehan Pertahanan (DAC) yang terdiri daripada barisan pegawai kanan tentera dan diketuai menteri pertahanan, demikian menurut kenyataan kerajaan.
Kenyataan sama bagaimanapun tidak menyatakan tempoh pembelian atau sama ada persenjataan itu akan diimport atau dihasilkan secara domestik.
Sejak sedekad lalu, New Delhi cuba mengurangkan kebergantungan kepada Russia yang menjadi pembekal utama peralatan ketenteraannya dengan beralih kepada negara lain seperti Amerika Syarikat dan Perancis, serta meningkatkan pengeluaran domestik.
Pemerolehan itu termasuk pembelian sistem anti dron dan peperangan elektronik, peluru berpandu permukaan-ke-udara jarak sederhana, misil anti kereta kebal mudah alih serta dron kamikaze.
DAC juga meluluskan pemerolehan periuk api tentera laut, dron bawaan kapal dan kemudahan ujian untuk mengukuhkan pertahanan maritim.
Bajet pertahanan New Delhi semasa ialah AS$85 bilion (RM346.03 bilion). – AFP














