PETALING JAYA – “Sepakan gol ketiga tu ada macam Lionel Messi tak?”
Demikian seloroh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki selepas menyertai perlawanan bola sepak bersama anak-anak muda di Padang Kampung Temenin Baru, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti, petang semalam.
Beliau turut beraksi bersama calon Barisan Nasional N34 DUN Panti, Dr. Naqib Ghazali yang juga Ketua Pemuda UMNO Tenggara.
Asyraf berkata, beliau memuji pengorbanan Naqib yang sanggup melepaskan jawatan sebagai Ketua Pegawai Kewangan merangkap pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar UKM demi memenuhi amanah parti untuk bertanding di DUN Panti.
“Saya cukup hormat dengan beliau kerana sanggup meletakkan jawatan dengan gaji berpuluh ribu hanya untuk berkorban memenuhi amanah parti,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Selepas program sukan itu, Asyraf menunaikan solat maghrib berjemaah di Masjid Jamek Kampung Lukut sebelum menghadiri Majlis Doa Selamat dan Rapat Umum bersama pengundi di Pusat Daerah Mengundi Bandar Tenggara Utara. – KOSMO! ONLINE














