fbpx
Mohamad pada sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini. Foto JAPEN

Malaysia terus sokong MoU AS-Iran, gesa tekanan ke atas Israel diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Malaysia akan terus menyokong usaha damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menamatkan konflik di Asia Barat, selain mempergiatkan tekanan diplomatik terhadap Israel bagi memastikan keamanan berkekalan di rantau itu.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keamanan di Asia Barat bukan sahaja penting kepada negara-negara di rantau berkenaan, malah memberi kesan langsung kepada ekonomi global termasuk Malaysia.

Menurut beliau, konflik yang tercetus sebelum ini telah mengganggu laluan perdagangan di Selat Hormuz, sekali gus menjejaskan rantaian bekalan dunia termasuk minyak mentah, gas asli cecair (LNG), baja dan pelbagai komoditi lain.

“Malaysia turut menerima kesan kerana sebahagian bekalan minyak mentah dunia melalui Selat Hormuz. Sebab itu apabila laluan tersebut terganggu, harga bahan api termasuk diesel harganya melambung tinggi. Jadi kita bersyukur kerana kedua-dua pihak (AS dan Iran) akhirnya bersetuju untuk menandatangani satu persetujuan yang mempunyai syarat 14 syarat.

“Malaysia merupakan antara negara yang awal mengeluarkan kenyataan menyokong dan memberikan sokongan penuh pemeteraian MoU ini. Kita akan sentiasa memantau apa sahaja keperluan yang diperlukan termasuk sokongan secara moral,” katanya pada sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai pendirian dan peranan Malaysia berhubung pengumuman MoU antara AS dan Iran bagi menamatkan konflik ketenteraan di Asia Barat.

Mohamad berkata, kerajaan menyambut baik persetujuan yang dicapai antara kedua-dua negara selepas melalui rundingan yang panjang, termasuk perbezaan pandangan berhubung isu pengayaan uranium Iran.

Katanya, MoU berkenaan mengandungi 14 perkara yang akan dirunding dan dimuktamadkan dalam tempoh 60 hari, termasuk pembukaan semula Selat Hormuz, pembinaan semula kawasan yang musnah akibat peperangan serta beberapa komitmen lain bagi meredakan ketegangan.

“Kita berdoa supaya proses meratifikasi MoU yang sedang berlangsung dapat mencapai kata sepakat kerana keamanan di Asia Barat amat penting kepada seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia juga sebelum ini menjadi antara negara penaja bersama (co-sponsor) resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa pembukaan semula Selat Hormuz serta usaha memulihkan keamanan di rantau Asia Barat.

Bagaimanapun, Mohamad berkata, masih wujud kebimbangan terhadap usaha pihak tertentu yang didakwa cuba menggagalkan proses damai itu.

Katanya, walaupun AS dan Iran telah mencapai persefahaman, tindakan Israel yang masih meneruskan operasi ketenteraan di Lubnan serta serangan ke atas wilayah Palestin menunjukkan terdapat pihak yang tidak mahu melihat konflik itu berakhir.

“Ada pihak yang berkepentingan mahu menggagalkan rundingan damai. Sebab itu masyarakat antarabangsa perlu terus memberi tekanan supaya segala bentuk pencerobohan dihentikan

“Malaysia memainkan peranan secara tidak langsung supaya keamanan-keamanan di rantau Asia Barat ini segera dipulihkan kerana dia tidak mendatangkan faedah dan ia merupakan satu perkara yang mendatangkan akibat yang amat buruk kepada seluruh dunia.

“Kita juga akan terus memainkan peranan secara diplomatik bersama masyarakat antarabangsa demi memastikan konflik di Asia Barat dapat ditamatkan dan keamanan berkekalan dapat dicapai,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN