DUNGUN – Hasrat seorang lelaki untuk menangkap ketam nipah bertukar tragedi apabila dia maut akibat lemas di kawasan paya berhampiran Kampung Tebing Tembah, Paka, di sini, hari ini.
Mayat Mohd Afiq Ahmad, 36, dijumpai pasukan mencari dan menyelamat di kawasan paya tersebut pada pukul 10 pagi tadi.
Abang ipar mangsa, Mohd. Hafis A. Talib, 47, berkata, Mohd. Afiq yang berasal dari Kampung Mengabang Lekor, Batu Rakit, Kuala Nerus datang ke rumahnya di Kampung Tebing Tembah, di sini bersama ibunya pada tiga minggu lalu.
“Afiq keluar menangkap ketam nipah di kawasan paya yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dari rumah saya pada pukul 10 pagi semalam. Dia tidak pulang-pulang sampai malam sebelum saya membuat laporan polis pada pukul 11 malam tadi,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Hafis berkata, Afiq mempunyai sejarah serangan sawan dan kebimbangan mereka akhirnya menjadi kenyataan apabila adik iparnya itu ditemui sudah tidak bernyawa.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Irwan Rashid berkata, mayat lelaki itu dijumpai sepasukan anggota bomba yang memulakan pencarian pada pukul 7.21 pagi tadi dan telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE














