fbpx
KARO merupakan rantai atau kalung leher seni warisan nenek moyang suku Dusun Lotud yang menetap di kawasan Tuaran dan Tamparuli, Sabah.

Sentuhan moden karo, seni warisan Dusun Lotud

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI sebalik arus kemodenan yang semakin pantas mengubah landskap fesyen dan gaya hidup, masih ada individu teguh mempertahankan warisan budaya agar tidak ditelan zaman. 

Bagi Lenny Anang, 42, kerja menghasilkan, menggayakan dan menjual aksesori tradisional suku kaum Dusun Lotud bukan sekadar memenuhi permintaan pasaran.

Sebaliknya, ia menjadi tanggungjawab untuk memastikan identiti warisan nenek moyangnya terus dikenali oleh generasi muda dan akan datang.

Berasal daripada suku kaum Dusun Lotud yang mendiami kawasan Tuaran dan Tamparuli di Sabah, Lenny sudah enam tahun menghasilkan aksesori tradisional masyarakat itu selepas mempelajarinya daripada ibunya. 

“Saya belajar menghasilkan karo daripada ibu, dan kini kami menjualnya di kedai kraf tangan kami terletak di Tamparuli,” ujarnya membuka bicara dengan CitaRasa.

Selain karo, premisnya turut menjual hasil seni lain seperti sulaman linangkit yang merupakan salah satu khazanah masyarakat Dusun Lotud.

Bagi masyarakat Dusun Lotud, aksesori bukan sekadar perhiasan diri, sebaliknya ia mempunyai nilai budaya yang tinggi dan menjadi sebahagian daripada identiti Dusun Lotud.

Antara aksesori yang sinonim dengan suku kaum Dusun Lotud adalah karo atau rantai. 

Dahulu, karo dihasilkan menggunakan emas dan sering menjadi lambang status dalam masyarakat. 

Menurut Lenny, berdasarkan apa yang diceritakan kepadanya, pada zaman dahulu, karo lazimnya dipakai oleh golongan berpengaruh atau individu yang mempunyai kedudukan tinggi dalam komuniti.

Bagaimanapun, perubahan zaman menyebabkan bahan yang digunakan untuk membuatnya semakin sukar diperoleh. 

Ujar Lenny, sudah sukar untuk menjumpai karo yang menggunakan batuan asli seperti suatu ketika dahulu. 

Justeru, versi karo dihasilkannya kini telah dimodenkan dengan penggunaan manik menyerupai bentuk karo asli.

LENNY menggayakan dua utas karo di lehernya sambil menunjukkan seni sulaman linangkit.

“Memandangkan sudah sukar untuk mendapatkan batuan asli seperti zaman dulu, saya menghasilkan karo menggunakan manik menyerupai bentuk karo asal,” katanya.

Walaupun mengalami sedikit perubahan dari segi bahan, namun aksesori itu masih mengekalkan identiti dan keunikan rekaan tradisional masyarakat Dusun Lotud. 

Malah sehingga hari ini, karo masih lagi dipakai dan digayakan oleh masyarakat Dusun Lotud terutama ketika majlis perkahwinan.

Menurutnya, keputusan untuk mempelajari cara menghasilkan karo lahir daripada keinginan untuk memartabatkan tradisi suku kaum Dusun Lotud agar warisan itu tidak hilang ditelan peredaran masa.

“Bagi menghasilkan seutas karo moden, saya mengambil masa sekitar satu jam bergantung kepada susunan manik yang digunakan. 

“Setiap utas dihasilkan dengan teliti bagi memastikan rekaannya mengekalkan ciri-ciri yang sinonim dengan aksesori tradisional masyarakat Dusun Lotud,” ujarnya.

Harga karo moden yang dihasilkannya dijual antara RM100 hingga RM1,200 seutas bergantung kepada jenis dan nilai manik digunakan.

“Ada yang cakap harga karo ini mahal, sebenarnya setiap manik yang digunakan mempunyai harga atau nilainya tersendiri,” katanya.

Bagi Lenny, setiap karo dihasilkan bukan sekadar aksesori untuk digayakan, sebaliknya ia turut membawa bersama kisah, identiti dan warisan suku kaum Dusun Lotud yang wajar dipelihara. 

Melalui sentuhan moden tanpa menghilangkan keaslian reka bentuk tradisi, dia berharap, lebih ramai generasi muda ingin mengenali dan menghargai keunikan warisan budaya yang diwarisi turun-temurun itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN