JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri hari ini mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2026 sebanyak sebulan gaji kepada 18,455 penjawat awam negeri sebagai tanda penghargaan atas khidmat dan komitmen mereka.
Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi berkata, bantuan khas tersebut tertakluk kepada syarat dan ketetapan yang digariskan dalam Pekeliling Perkhidmatan Negeri Johor Bilangan 1 Tahun 2026.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keperluan semasa penjawat awam dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri selain menghargai sumbangan mereka dalam memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar.
“Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, sukacita saya mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri Johor telah bersetuju untuk memberikan Bantuan Khas Kewangan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2026 sebanyak sebulan gaji,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas beliau, bantuan khas berkenaan akan memanfaatkan seramai 18,455 penjawat awam tetap dan kontrak di negeri ini yang terdiri daripada 11,271 penjawat awam negeri.
Selain itu, seramai 6,192 warga kerja Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) turut menerima manfaat berkenaan manakala 992 lagi melibatkan kakitangan Badan Berkanun Negeri.
Tambahnya, bayaran Bantuan Khas Kewangan tersebut akan dibuat pada 5 Mac 2026 atau pada tarikh yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Melantik masing-masing.
Beliau berharap pemberian itu dapat membantu meringankan beban kewangan penjawat awam dalam membuat persiapan menjelang Aidilfitri, khususnya dalam suasana peningkatan kos sara hidup.-KOSMO! ONLINE.














