KANGAR – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis akan memohon kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya mengadakan pilihan raya semula bagi mengisi kekosongan di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan berkata, pemakluman secara bertulis akan dibuat kepada SPR bahawa kekuatan daripada segi bilangan parti yang membentuk majoriti semua Ahli Dewan Negeri terjejas berikutan tiga kekosongan luar jangka tersebut.
Permohonan itu dibuat menggunakan budi bicara beliau yang diperuntukkan melalui proviso kepada Fasal (5) Perkara Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.
Terdahulu, beliau memaklumkan menerima notis bertulis berhubung tiga kekosongan luar jangka di bawah Fasal (3) Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri, Haziq Asyraf Dun.
Beliau seterusnya meneliti perkembangan berkaitan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dimaksudkan dan berpuas hati untuk memutuskan bahawa telah berlaku kekosongan luar jangka.
Kosmo! Online malam tadi melaporkan
Pas membuat ketetapan bahawa keahlian tiga ADUN Perlis sebagai ahli parti itu terhenti berkuat kuasa serta-merta.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang bersidang pada hari ini.
“Ketetapan dibuat berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan Pas (Pindaan 2025) bahawa ahli-ahli Badan Perundangan Pas yang berikut adalah terhenti serta-merta keahliannya sebagai ahli Pas.
“Mereka ialah ADUN Chuping, Saad Seman; ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Guar Sanji, Mohd. Ridzuan Hashim,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, timbul spekulasi pertukaran Menteri Besar Perlis apabila lapan ADUN didakwa menghantar akuan bersumpah (SD) kepada pihak istana susulan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan ADUN Sanglang berkenaan.
Bagaimanapun, pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang membentuk kerajaan negeri Perlis menyerahkan sepenuhnya perkara tersebut kepada pimpinan parti masing-masing.
Selain itu, difahamkan beberapa nama turut dihantar oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada pihak istana sebagai calon Menteri Besar baharu, namun setakat ini Pas dilaporkan masih belum mengemukakan senarai calon pengganti. – KOSMO! ONLINE














