KUALA LUMPUR – UMNO akan mengguna pakai pendekatan lebih fleksibel dan dinamik dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Melaka, Johor serta Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, landskap politik negara kini tidak lagi statik seperti dahulu apabila perubahan ketara berlaku dalam kalangan pengundi, isu semasa dan corak sokongan rakyat.
Menurutnya, strategi pilihan raya parti tidak boleh lagi bergantung kepada pendekatan lama, sebaliknya perlu disesuaikan mengikut realiti semasa.
“Kita akan membaca sentimen rakyat ketika itu, menilai kekuatan lawan dan menyesuaikan pendekatan kita. Ini bukan kelemahan, sebaliknya kekuatan.
“Dalam politik moden, fleksibiliti adalah senjata,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan Konvensyen 80 Tahun UMNO di sini hari ini.
Beliau menegaskan, UMNO tidak boleh lagi ‘mengikat kaki sendiri’ dengan formula lapuk, sebaliknya perlu bergerak selari dengan perubahan semasa bagi memastikan parti kekal relevan dan berdaya saing. – KOSMO! ONLINE














