JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) Johor menyifatkan keputusan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sebagai isyarat jelas bahawa kerjasama politik antara kedua-dua gabungan di peringkat negeri sudah berakhir.
Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengenai pendirian BN itu membuktikan gabungan berkenaan tidak lagi berminat meneruskan kerjasama dengan PH di Johor.
Menurut beliau, pihaknya sebelum ini sudah cuba mendapatkan penjelasan berhubung kemungkinan kerjasama antara PH dan BN menjelang PRN.
“Malah sebelum konvensyen lagi, Naib Presiden Amanah Johor, Suhaizan Kaiat sudah bertanya sama ada akan wujud kerjasama PH-BN bagi menghadapi PRN.
“Namun sehari sebelum konvensyen, mereka mengumumkan akan bertanding solo di semua kerusi. Ini jelas menunjukkan mereka sendiri sudah menutup pintu kerjasama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Pakatan Harapan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.
Mengulas sama ada PH masih terbuka untuk bekerjasama dengan BN di Johor, Aminolhuda berkata, gabungan itu tidak mahu dilihat terlalu mengharapkan kerjasama berkenaan.
“Kita tidak mahu jadi seperti peribahasa ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’.
“Mereka sudah membuat keputusan begitu, jadi kita hormati pendirian tersebut. PH juga sudah bersedia dan sebenarnya perkara ini telah dijangka lebih awal,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan hubungan PH dan BN di peringkat Persekutuan masih berada dalam keadaan baik seperti dipersetujui pimpinan tertinggi kedua-dua gabungan.
“Di peringkat pusat, seperti disebut Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan, hubungan kerjasama masih berjalan baik dan tidak menjadi masalah,” ujarnya.
Tambah beliau, pendirian BN Johor itu secara tidak langsung memudahkan PH menentukan strategi dan hala tuju parti bagi menghadapi PRN akan datang.
Semalam, Onn Hafiz mengumumkan BN Johor akan bertanding di semua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang walaupun tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri masih belum diputuskan.
Spekulasi mengenai kemungkinan Johor mengadakan PRN lebih awal semakin hangat diperkatakan susulan peningkatan aktiviti politik sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-80 di Istana Besar Johor Bahru pada 11 Mei lalu.
Pada PRN Johor 2022, BN memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN, manakala PH memperoleh 12 kerusi, Perikatan Nasional (PN) tiga kerusi dan Muda satu kerusi. – KOSMO! ONLINE














