LUMUT – Wakil Kedutaan Besar Republik Indonesia yang mengadakan kunjungan ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Manjung semalam telah dimaklumkan mengenai keadaan terkini operasi mencari dan menyelamat (SAR) warganya yang terlibat insiden bot karam di perairan Pulau Pangkor pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd. Rahman berkata, perjumpaan rasmi berkenaan telah diadakan di Bilik Mesyuarat IPD Manjung melibatkan pihak pihaknya, wakil kedutaan berkenaan dan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Sesi ini bertujuan menyampaikan maklumat rasmi dan perkembangan terkini berkaitan insiden berkenaan termasuk status operasi SAR, proses pengecaman identiti mangsa, pengurusan dokumentasi serta urusan pengendalian mayat mangsa.
“Selain itu, perbincangan turut menyentuh aspek kebajikan mangsa terselamat dan waris keluarga yang terlibat, di samping memperkukuhkan kerjasama strategik antara Malaysia dan Indonesia khususnya dalam aspek keselamatan perairan serta pengurusan migran,” katanya di sini hari ini.
Perjumpaan tersebut dipengerusikan oleh Hasbullah dan turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Superintendan Mohd. Rozaini Md. Rodzi, bersama delegasi Kedutaan Besar Republik Indonesia yang diketuai Danang Waskito selaku Timbalan Kedutaan Indonesia.
Hasbullah berkata, Polis Manjung akan terus komited memastikan segala tindakan dan pengurusan kes dilaksanakan mengikut undang-undang, prosedur operasi standard (SOP) serta prinsip kemanusiaan. – KOSMO! ONLINE













