JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) Johor mengesahkan akan bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) itu akan datang bagi mempertahankan mandat serta meneruskan agenda pembangunan negeri.
Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan rakyat, suara akar umbi UMNO serta hasil perbincangan bersama pucuk pimpinan parti.
Menurut beliau, keputusan tersebut mencerminkan kesiapsiagaan BN Johor untuk terus membentuk kerajaan negeri yang stabil, kukuh dan fokus terhadap kesejahteraan rakyat serta kemajuan negeri.
“Bagi UMNO dan BN Johor, pendirian untuk bertanding di 56 kerusi DUN adalah tawaran yang jelas kepada rakyat bahawa kami bersedia untuk terus membentuk sebuah kerajaan yang stabil, kuat dan berkhidmat sepenuhnya kepada pembangunan negeri serta kesejahteraan Bangsa Johor,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor turut menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk meneruskan agenda pembangunan Johor termasuk aspek ekonomi, pelaburan, infrastruktur dan kebajikan rakyat.
Dalam PRN Johor ke-15 pada Mac 2022, BN mencatat kemenangan besar apabila berjaya memperoleh 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.
Pakatan Harapan (PH) ketika itu memenangi 12 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tiga kerusi dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menang satu kerusi.
Kemenangan besar tersebut menyaksikan Onn Hafiz dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-19 bagi menerajui pentadbiran negeri. – KOSMO! ONLINE














