JOHOR BAHRU – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan yakin gabungan itu mampu ‘menguburkan’ Barisan Nasional (BN) buat kali kedua pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 akan datang.
Beliau berkata, PH tidak akan sesekali menyerah kalah walaupun BN Johor telah mengumumkan hasrat untuk bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN akan datang.
Menurutnya, BN pernah tewas di Johor apabila PH berjaya membentuk kerajaan negeri selepas mencipta kemenangan besar pada PRN 2018.
“BN pernah kalah di Johor dan PH pernah menang 38 kerusi DUN serta memerintah negeri ini.
“Insya-Allah dalam pilihan raya negeri kali ini kita akan kuburkan mereka kembali untuk kali kedua,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.
Aminolhuda yang juga Pengerusi Amanah Johor berkata, sebagai pejuang politik, PH tidak akan mengaku kalah sebelum bertanding dalam pilihan raya.
“Kita tidak mungkin menyerah kalah sebelum berjuang. Sebagai seorang pejuang, kita tidak akan mengaku kalah sebelum tumbang,” katanya.
Ahli Parlimen Sri Gading itu turut mendakwa tindakan kerajaan negeri melantik lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan membuktikan BN bimbang kehilangan sokongan rakyat terutama di kawasan bandar.
Menurutnya, terdapat tujuh kawasan DUN di Johor mempunyai lebih 100,000 pengundi, namun kerajaan negeri tidak berani melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya.
Katanya, sekiranya persempadanan semula dilakukan, jumlah kerusi bandar akan bertambah dan keadaan itu diyakini memberi kelebihan kepada PH.
“Sebab itu mereka tidak berani buat persempadanan semula,” katanya.
Beliau berkata, Johor masih menjadi negeri yang kuat dipengaruhi PH apabila gabungan itu kini memiliki 14 kerusi Parlimen di negeri berkenaan.
Tambahnya, pengalaman PH mentadbir negara selama 22 bulan turut menjadi pengajaran besar selepas gabungan itu didakwa dikhianati ketika menerajui kerajaan Persekutuan.
“Kita tidak akan berhenti. Kita akan teruskan perjuangan rakyat Johor dan Bangsa Johor untuk mentadbir negeri ini dengan lebih baik,” katanya.-KOSMO! ONLINE














