PETALING JAYA – Belum pun keputusan rasmi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diumumkan, media sosial sudah dibanjiri permintaan supaya Isnin diisytiharkan sebagai cuti peristiwa selepas kerajaan baharu terbentuk.
Tinjauan di platform Facebook, TikTok dan X mendapati ramai warga maya meninggalkan komen berseloroh sambil berharap kerajaan negeri yang baharu mempertimbangkan pemberian cuti sehari bagi membolehkan orang ramai berehat selepas melalui tempoh berkempen dan hari pengundian.
Setakat ini, berdasarkan keputusan tidak rasmi, BN dilihat sedang mendahului pencabarnya, khususnya Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), namun keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih dinantikan.
“Kalau BN menang malam ini, esok cuti teruslah. Boleh rehat selepas penat mengundi.
“Orang Johor dah tunaikan tanggungjawab. Hadiahkanlah cuti sehari,” jelas Azwan Khairi.
Turut tular komen orang ramai yang tidak kisah siapa yang menjadi kerajaan, apa yang dinantikan adalah cuti pada Isnin.
“Tak kisah siapa menang, yang penting Isnin cuti,” tulis Hazami Mokhtar.
Bagaimanapun, ada juga pengguna media sosial mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang andaian kerana sebarang pengisytiharan cuti hanya boleh diputuskan oleh kerajaan negeri selepas keputusan rasmi PRN diumumkan.
Sehingga malam ini, belum ada sebarang pengumuman rasmi berhubung cadangan cuti peristiwa tersebut.- KOSMO! ONLINE















