JOHOR BAHRU – Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bukan sekadar satu kejayaan politik, sebaliknya merupakan amanah besar untuk berkhidmat kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik.
Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, mandat yang diberikan rakyat akan dipikul dengan penuh rasa tanggungjawab oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN yang dipilih.
Beliau berkata, kejayaan itu adalah hasil kerja keras seluruh jentera parti sepanjang tempoh kempen selain kepercayaan tinggi yang diberikan rakyat Johor kepada BN untuk terus mentadbir negeri.
“Syukur alhamdulillah, BN Johor berjaya memenangi lebih 40 kerusi. Dengan penuh rasa rendah hati, saya mewakili kepimpinan BN Johor mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh Bangsa Johor yang telah memberikan mandat yang begitu besar kepada kami.
“Mandat ini adalah satu tanggungjawab. Kepada semua wakil rakyat BN yang dipilih, tugas kita adalah menjaga seluruh Bangsa Johor, sama ada mereka menyokong BN atau sebaliknya. Apabila pilihan raya selesai, semua rakyat adalah tanggungjawab kita,” katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama (BGU) BN di Pejabat Perhubungan UMNO Johor di sini malam ini.
Menurut Onn Hafiz, kerajaan negeri akan terus memastikan setiap lapisan masyarakat termasuk Melayu, Cina, India dan Orang Asli mendapat pembelaan serta manfaat daripada dasar-dasar yang dilaksanakan.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata, semua wakil rakyat BN akan terus turun padang menyantuni rakyat dan berusaha menyelesaikan pelbagai isu yang dihadapi mereka dengan lebih berkesan.
“Kami akan terus berkhidmat sebaik mungkin. Mandat besar ini perlu diterjemahkan melalui tindakan dan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Onn Hafiz turut mengajak seluruh rakyat Johor supaya mengetepikan perbezaan politik selepas tamat pilihan raya dan bersama-sama membangunkan negeri.
“Marilah kita rapatkan saf, buang yang keruh, ambil yang jernih. Musim pilihan raya sudah berakhir. Sekarang adalah masa untuk kita bersatu hati membina Johor yang lebih maju, makmur dan sejahtera demi masa depan Bangsa Johor,” katanya. – KOSMO! ONLINE















