JOHOR BAHRU – Bilik Gerakan Utama Barisan Nasional (BN) di Jalan Yahya Awal di sini bertukar gamat dengan sorakan dan tepukan gemuruh selepas keputusan tidak rasmi menunjukkan gabungan itu mendahului di 49 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 malam ini.
Suasana penuh emosi itu menyaksikan pemimpin BN, petugas parti dan penyokong bangun berdiri sambil melaungkan slogan “Hidup BN!” sebaik kedudukan semasa kerusi diumumkan.
Sorakan kegembiraan bergema apabila Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, mengumumkan kedudukan semasa berdasarkan keputusan tidak rasmi yang diterima di bilik gerakan berkenaan.
Malah, sekumpulan penyokong wanita turut menyanyikan lagu Perajurit Tanah Air sambil mengibarkan bendera BN sebagai tanda meraikan prestasi cemerlang gabungan itu yang hampir pasti mempertahankan pentadbiran negeri.
Beberapa pemimpin BN turut dilihat saling berjabat tangan dan berpelukan, manakala penyokong merakam detik kegembiraan itu menggunakan telefon bimbit masing-masing.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat pukul 9 malam, BN mendahului dengan 49 kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) di hadapan di tujuh kerusi. Perikatan Nasional (PN), Bersama, Muda, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan calon Bebas masih belum memenangi sebarang kerusi.
Bagaimanapun, keputusan tersebut masih belum rasmi kerana proses pengiraan dan penjumlahan undi masih berlangsung di beberapa pusat penjumlahan undi di seluruh Johor.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan keputusan rasmi bagi semua 56 kerusi DUN Johor selepas selesai proses pengiraan dan pengesahan undi malam ini. – KOSMO! ONLINE















