fbpx
Konflik di Asia Barat yang menyaksikan perang antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) juga menyaksikan AI digunakan sebagai propaganda peperangan antara kedua-dua belah pihak. - GAMBAR JANAAN AI

AI jadi alat manipulasi pengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin mendominasi alam maya ketika ini tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa ia akan berhenti dalam masa terdekat.

Kandungan-kandungan yang dijana AI bagaikan suatu yang tidak dapat lari daripada kehidupan manusia masa kini.

Ia sehinggakan kita tidak tahu lagi sama ada apa yang dibaca atau ditonton itu adalah kandungan yang benar atau dijana oleh AI.

Bahkan, konflik di Asia Barat yang menyaksikan perang antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) juga menyaksikan AI digunakan sebagai propaganda peperangan antara kedua-dua belah pihak.

Bukan itu sahaja, kanak-kanak pun sudah tahu bahawa apa yang ditonton mereka di media sosial adalah AI atau kejadian sebenar. Ia sekali gus membuktikan teknologi itu telah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita pada hari ini.

Pensyarah Kanan Komunikasi Liberal, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Dr. A. Aziz Azizam berkata, pada 2024 di AS, satu senario tercetus apabila panggilan telefon automatik yang dijana AI menggunakan suara calon Parti Demokrat, Joe Biden.

Katanya, tujuan panggilan dengan suara janaan AI itu dilakukan adalah untuk menggalakkan pengundi tidak keluar mengundi.

“Ia sekali gus menjadi penanda sebagai kes awal penggunaan AI bagi tujuan penindasan pengundi.

“Setahun sebelumnya, pada 2023 di Slovakia, audio deepfake yang memaparkan seorang calon berbincang tentang penipuan pilihan raya tersebar hanya beberapa hari sebelum pengundian.

“Ia menunjukkan bagaimana maklumat palsu yang disebarkan pada masa kritikal mampu mempengaruhi persepsi pengundi,” katanya.

Di Pakistan pada 2024 pula, A. Aziz berkata, penyokong Imran Khan menggunakan AI untuk menjana ucapan politik ketika beliau dipenjarakan, membuktikan bahawa teknologi itu juga boleh dimanfaatkan untuk menggerakkan sokongan secara emosi.

Dalam konteks Asia Tenggara, pilihan raya Indonesia 2024 menyaksikan Prabowo Subianto menggunakan imej ‘gemoy’ yang dihasilkan oleh AI untuk membina semula imej dirinya secara lebih lembut dan mesra rakyat.

“Ini membuktikan bahawa, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kecerdasan buatan (AI) telah berkembang daripada sekadar teknologi baharu kepada satu kuasa yang nyata dalam membentuk kempen politik global.

“AI juga bukan sahaja mengubah strategi kempen politik, tetapi juga mencabar asas kebenaran dan kepercayaan dalam demokrasi moden,” katanya.

Beliau berkata, di Malaysia juga tidak terkecuali apabila negara telah memasuki suatu fasa baharu dalam sejarah politiknya iaitu era AI.

“Menjelang pilihan raya umum akan datang, jika dahulu kempen politik bergantung kepada ceramah, poster dan media arus perdana, hari ini landskap tersebut telah berubah secara radikal.

“Media sosial, algoritma dan kini AI generatif menjadi alat utama dalam membentuk persepsi pengundi,” katanya.

A. Aziz memetik ungkapan seorang saintis data, Rumman Chowdhury bahawa AI sebenarnya bukan berfikiran seperti manusia tetapi hanyalah satu sistem yang meneka jawapan berdasarkan data sedia ada.

Ini bermakna, katanya, AI tidak memahami kebenaran, sebaliknya ia menghasilkan sesuatu yang kelihatan seolah-olah benar.

“Maka dengan itu, ini merupakan punca bahawa AI dan politik dalam konteks pilihan raya, kebenaran bukan lagi sesuatu yang mutlak. Ia menjadi sesuatu yang boleh direka, dimanipulasi, dan disebarkan pada skala besar dalam masa yang singkat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN