fbpx
Van yang membawa jenazah Adli Hakim (gambar kecil) menuju ke Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam untuk dikebumikan hari ini. Foto oleh MOHD FAHMI ISMAIL/KOSMO!

3 maut: ‘Adik meninggal dunia depan mata saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GOMBAK – “Saya terus bergegas dari rumah ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada rakan arwah yang memaklumkan adik terlibat dalam kemalangan.”

Demikian luahan abang kepada Allahyarham Adli Hakim Akberdin, 24, iaitu Ardy Suffian selepas tragedi kemalangan maut yang meragut nyawa tiga penumpang sebuah kereta di Kilometer 34 Lebuh Raya Karak menghala Kuala Lumpur berhampiran Kampung Sungai Chinchin di sini awal pagi Jumaat.

Menurut Ardy, sebaik menerima panggilan tersebut, dia terus bertolak dari rumahnya di Shah Alam menuju ke lokasi kejadian.

“Bila sampai di tempat kejadian, saya nampak dua penumpang sudah meninggal dunia.

“Tidak lama kemudian, adik saya pula disahkan meninggal dunia di depan mata saya sendiri. Sukar untuk saya gambarkan perasaan ketika itu, memang sedih,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini

Tambahnya, arwah merupakan antara adik-beradik yang paling manja dan bersikap santai dalam keluarga.

“Arwah anak kelima daripada tujuh beradik. Sebelum ini saya ada berhubung dengannya menerusi WhatsApp, tetapi hanya perbualan biasa, tiada perubahan pelik,” ujarnya.

Menurut Ardy lagi, sebelum kejadian Allahyarham Adli bersama tiga rakannya baru selesai makan di Genting Highlands sebelum dalam perjalanan pulang ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Allahyarham merupakan pelajar tahun akhir jurusan Sarjana Muda Undang-undang di universiti berkenaan.

Difahamkan, jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam selepas solat Asar hari ini.

Terdahulu, media melaporkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.07 pagi.

Dalam kejadian tersebut, tiga lelaki dilaporkan maut manakala seorang wanita parah selepas kereta jenis Volkswagen dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori simen di KM34 Lebuh Raya Karak menghala Kuala Lumpur berhampiran Kampung Sungai Chinchin di sini.

Kesemua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Selayang untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN