PETALING JAYA – Usaha murni Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menyediakan sarapan percuma buat jemaah haji Malaysia di Mekah berjaya meraih sumbangan lebih RM151,000 dalam tempoh singkat.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook, Dr Akmal memaklumkan jumlah sumbangan yang diterima setakat ini adalah sebanyak RM151,137.79.
Menurutnya, dirinya terkejut dan terharu melihat sambutan luar biasa rakyat Malaysia yang sanggup berkongsi rezeki demi membantu para jemaah haji atau duyufurahman.
“Alhamdulillah. Terkedu saya pagi ini bila melihat jumlah yang disumbangkan oleh anda semua, betapa hebatnya jiwa bersedekah,” katanya.

Susulan jumlah kutipan yang diterima, beliau turut mengumumkan penutupan sumbangan infak bagi memudahkan proses pengeluaran dan pengurusan dana dilakukan secara lebih telus.
“Maka dengan ini saya ingin menutup sumbangan infak untuk projek ini. Saya merayu agar anda semua jangan lagi masukkan duit ke akaun agar proses pengeluaran duit dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan telus,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua penyumbang yang memberi kepercayaan kepadanya untuk menguruskan amanah berkenaan.
Katanya, segala perbelanjaan akan dikemas kini secara terperinci selepas selesai musim haji nanti.
“InsyAllah saya akan laksanakan amanah anda semua sebaik mungkin dan akan update selepas habis haji setiap sen yang dibelanjakan,” katanya.
Terdahulu, Dr. Akmal memaklumkan jemaah haji Malaysia di sebuah penginapan di Abraj Al Janadriyah hanya disediakan makan tengah hari dan makan malam, manakala sarapan perlu dibeli sendiri.
Susulan itu, beliau melancarkan projek infak sarapan percuma buat para jemaah haji Malaysia dan mengajak orang ramai bersama-sama berkongsi pahala membantu para jemaah.- KOSMO! ONLINE














