KUALA LUMPUR – Seorang mangsa along online didakwa menjadi mangsa penipuan pinjaman berangkai apabila terpaksa membayar RM57,000 bagi pinjaman asal hanya RM3,500 sejak Disember tahun lalu.
Setiausaha Agung Malaysian Humanitarian Organization (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, walaupun bayaran besar telah dibuat, sindiket pemberi pinjam wang tidak berlesen itu masih menuntut tambahan RM58,000 daripada mangsa.
Menurut beliau, mangsa seorang penjawat awam dikenali Din pada awalnya hanya membuat pinjaman kecil sebelum dipaksa membuat pelbagai pinjaman baharu secara ‘overlap’ sehingga terperangkap dalam hutang tidak wujud.
“Pinjaman asal cuma RM3,500 tetapi selepas dimanipulasi melalui pinjaman berangkai, mangsa sudah bayar RM57,000.
“Namun along masih tuntut lagi RM58,000 walaupun sebahagian besar hutang itu sebenarnya tidak wujud,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat MHO sini hari ini.
Katanya, gangguan sindiket terbabit kini lebih tertumpu kepada ahli keluarga khususnya keluarga mentua dengan tujuan memecah-belahkan rumah tangga mangsa.
“Mereka bukan sekadar ugut mangsa, tetapi fokus ganggu isteri dan keluarga mentua. Mereka baling poster dan buat pelbagai gangguan bagi memberi tekanan emosi,” katanya.
Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, laporan polis berkaitan kes itu telah dibuat di Shah Alam pada 10 Februari lalu di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.
Bagaimanapun, beliau mendakwa sehingga kini tiada maklum balas rasmi diterima daripada pihak penyiasat walaupun beberapa surat dihantar mengikut peruntukan Seksyen 107A Kanun Tatacara Jenayah.
Katanya, tiga surat telah dihantar masing-masing pada 11 Mac, 14 April dan 15 Mei lalu bagi mendapatkan status siasatan kes.
“Seksyen 107A jelas memberi hak kepada pengadu untuk mendapatkan maklum balas bertulis daripada pihak penyiasat dalam tempoh 14 hari.
“Ini bukan surat suka-suka, tetapi hak berkanun di bawah Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya kecewa apabila tiada sebarang jawapan diterima walaupun surat telah dihantar sebanyak tiga kali selain mesej WhatsApp kepada pegawai penyiasat juga tidak dibalas.
Sehubungan itu, katanya, pihak mangsa akan membuat aduan kepada Timbalan Pendakwa Raya seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 107A(6) Kanun Tatacara Jenayah sekiranya tiada tindakan lanjut diambil.- KOSMO! ONLINE.














