PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkenalkan dua kod baharu di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) berkuatkuasa 1 Jun depan, bagi memperkukuh perlindungan kanak-kanak dalam talian.
MCMC menerusi kenyataan memaklumkan, Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) diterbitkan hari ini susulan sesi libat urus bersama pemain industri, organisasi masyarakat sivil dan pihak berkepentingan berkaitan.
“Pelaksanaan kedua-dua kod yang juga bertujuan mengurangkan risiko kandungan memudaratkan di platform digital itu turut melibatkan proses rundingan awam yang dijalankan dari 12 Februari hingga 31 Mac lalu.
“Pelaksanaan obligasi utama di bawah ONSA ini juga adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memastikan pengalaman digital yang lebih selamat bagi kanak-kanak dan keluarga.
“Langkah ini membantu memperkukuh perlindungan kanak-kanak di persekitaran dalam talian, di samping memberikan keyakinan tambahan kepada ibu bapa dalam menghadapi risiko digital yang semakin kompleks,” kata kenyataan itu, hari ini.
Jelas MCMC, kod berkenaan menetapkan jangkaan jelas kepada pemberi perkhidmatan untuk memikul tanggungjawab lebih besar dalam menangani kandungan memudaratkan dalam perkhidmatan masing-masing, khususnya dalam melindungi kanak-kanak dan pengguna rentan.
“Pendekatan pelaksanaan di bawah kod ini adalah berasaskan hasil, yang memberi fleksibiliti kepada pemberi perkhidmatan untuk melaksanakan penyelesaian yang bersesuaian dengan keperluan keselamatan, privasi dan perundangan.
“CPC memberi tumpuan kepada usaha memastikan pengalaman dalam talian yang lebih selamat dan bersesuaian dengan umur bagi pengguna kanak-kanak.
“Ia memastikan pemberi perkhidmatan menerapkan prinsip keselamatan melalui binaan (safety by design) bagi kanak-kanak dalam perkhidmatan mereka, termasuk perlindungan bagi mengehadkan pendaftaran dan pemilikan akaun oleh pengguna bawah umur 16 tahun,” jelas MCMC.
Langkah di bawah CPC kata MCMC, menyediakan perlindungan mengikut umur serta mengehadkan fungsi tertentu yang boleh mendedahkan kanak-kanak kepada risiko, sekali gus mengurangkan pendedahan kepada kandungan eksploitasi dan memudaratkan.
“RMC pula menghendaki pemberi perkhidmatan melaksanakan langkah proaktif dan menyeluruh bagi mengurangkan risiko kandungan memudaratkan.
“Ia termasuk penilaian risiko, tadbir urus kandungan yang lebih kukuh, mekanisme pelaporan dan respons yang berkesan, langkah pengesahan pengiklan serta pelabelan kandungan yang dimanipulasi,” tambah kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, tempoh pelaksanaan yang munasabah akan diberi kepada pemberi perkhidmatan bagi membolehkan proses pengesahan diselesaikan dengan teratur. – KOSMO! ONLINE














