fbpx
TIGA beranak bersama plakad digunakan mereka untuk menarik perhatian Sultan Pahang ketika konvoi melalui laluan Kampung Kuala Sat, dekat Ulu Tembeling, Jerantut.

Rumah atas tanah kerajaan punca keluarga 13 tahun tanpa elektrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JERANTUT – Status rumah yang dibina di atas tanah milik kerajaan dikenal pasti menjadi punca sebuah keluarga di Kampung Kuala Sat, Ulu Tembeling dekat sini didakwa terpaksa hidup tanpa bekalan elektrik hampir 13 tahun.

Isu itu mendapat perhatian ramai selepas tular satu video di media sosial memaparkan seorang penduduk bersama keluarganya bertindak menahan kenderaan dinaiki Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sambil memegang plakad merayu bantuan bekalan elektrik ke rumah mereka.

Kejadian itu dilaporkan berlaku ketika baginda berangkat pulang selepas melakukan lawatan ke Mukim Ulu Tembeling, lima hari lalu, sebelum rayuan keluarga tersebut mendapat perhatian segera daripada pihak berkaitan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Lantikan Kerajaan Negeri, Haris Salleh Hamzah berkata, pihaknya telah mengambil maklum isu berkenaan dan segera menghubungi Tenaga Nasional Berhad bagi mendapatkan penjelasan berhubung status permohonan bekalan elektrik keluarga terbabit.

“Hasil semakan mendapati permohonan untuk pemasangan bekalan elektrik itu sebenarnya telah diluluskan, termasuk mendapat kelulusan daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bagi kerja pemasangan infrastruktur berkaitan.

“Sebanyak 33 batang tiang elektrik dijangka dipasang bagi membolehkan sambungan bekalan ke rumah berkenaan dan kerja-kerja itu dijangka siap dalam masa terdekat,” katanya di sini, semalam.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, kelewatan proses penyambungan berlaku disebabkan status tanah yang diduduki keluarga berkenaan masih dikategorikan sebagai tanah milik kerajaan dan belum mempunyai penyelesaian pemilikan yang sah.

“Isu utama bukan soal tiada tindakan, tetapi melibatkan kekangan teknikal dan prosedur kerana rumah tersebut dibina di atas tanah kerajaan.

“Disebabkan status itu, beberapa urusan termasuk penyambungan utiliti tidak dapat dilaksanakan serta-merta mengikut prosedur sedia ada,”katanya.

Tambah beliau, UMNO Bahagian Jerantut bersama pihak berkaitan akan mengadakan perbincangan dengan Pejabat Tanah dan Daerah Jerantut bagi mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap status tanah berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN