fbpx
Empat mangsa terbaring di atas jalan selepas merempuh sebuah kereta di Kilometer 51.4, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Machang kelmarin.

Empat bersaudara parah, keluarga mahu ambil tindakan undang-undang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Keluarga kepada dua beradik dan dua saudara yang parah selepas motosikal yang mereka naiki merempuh sebuah kereta seorang guru di Kilometer 51.4 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Machang kelmarin akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemandu kereta terbabit selepas semua urusan di hospital selesai.

Dalam kemalangan kira-kira pukul 7 pagi itu, Muhammad Muskir Rosli, 14 bersama adiknya, Mas Siti Rosnani, 7, termasuk dua anak saudara mereka iaitu Muhamad Hakikat Abdul Rahman, 9, dan Muhammad Zulhaqif Muhamad Zulkifli, 12, mengalami kecederaan parah.

Abang kepada Muhammad Muskir dan Mas Siti Rosnani, Muhamad Sahabad, 22 berkata, dia akan mengumpul semua maklumat termasuk daripada saksi-saksi yang melihat kejadian itu untuk tindakan lanjut.

Katanya, meskipun laporan awal polis mengatakan kereta jenis Honda Jazz dipandu seorang guru berada di laluan sah, dia tetap akan mengumpul maklumat lain daripada saksi mengenai kemalangan itu.

“Buat masa ini, Mas Siti Rosnani masih ditidurkan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian selepas menjalani pembedahan memotong kaki kanan dari paras paha semalam.

“Pihak hospital ada memaklum akan membuat pembedahan bahagian kepala dan buah pinggang Mas Siti Rosnani, namun kami sekeluarga tidak bersetuju kerana ia melibatkan prosedur yang berat selain bimbang dengan keselamatannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Muhamad Sahabad memberitahu, kaki kanan adiknya yang dipotong semalam selamat dikebumikan selepas dibawa pulang dari HPUSM.

Menurutnya, anak saudaranya, Muhammad Zulhaqif yang sebelum ini kurang stabil selepas kemalangan dijangka menjalani pembedahan memasukkan besi pada paha kanan hari ini.

Kosmo! Online semalam melaporkan, kaki kanan seorang kanak-kanak yang cedera parah selepas motosikal yang dinaiki bersama abang dan dua anak saudaranya merempuh sebuah kereta seorang guru di Kilometer 51.4 Jalan Kota Bharu- Kuala Krai dekat Machang terpaksa dipotong bagi mengelakkan komplikasi yang serius.

Mas Siti Rosnani selamat menjalani memotong kaki sehingga paras paha di HPUSM, Kubang Kerian di sini kira-kira pukul 5 pagi semalam dan kini di tempatkan di Unit Rawatan Rapi hospital berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN