fbpx
GAMBAR fail 6 Mei 2019 menunjukkan Puteri Sirivannavari Nariratana (kiri), Putera Dipangkorn Rasmijoti dan Puteri Bajrakitiyabha Mahidol(kanan). – AFP

Keadaan kesihatan puteri Thailand merosot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK – Keadaan kesihatan seorang puteri Thailand yang  dimasukkan ke hospital sejak  lebih tiga tahun lalu telah merosot, kata pihak istana hari ini.

Puteri Bajrakitiyabha Mahidol iaitu puteri sulung Raja Vajiralongkorn, jatuh sakit semasa sesi latihan anjing tentera pada Disember 2022 dan kekal di hospital sejak itu.

Beliau menghidap jangkitan darah teruk, manakala fungsi paru-paru serta buah pinggangnya disokong oleh peranti perubatan dan ubat, kata istana sebelum ini.

Biro Isi Rumah Diraja berkata dalam satu kenyataan hari ini bahawa puteri itu mengalami jangkitan perut akibat radang usus besar dengan ‘tanda-tanda vital tidak stabil, tekanan darah rendah, degupan jantung tidak teratur dan pembekuan darah yang tidak norma’.

Istana Thailand menyatakan, Puteri Bajrakitiyabha masih bergantung pada mesin sokongan hayat  untuk menyokong fungsi paru-paru dan buah pinggangnya.

“Keadaan beliau terus merosot,” katanya sambil menambah, jangkitan itu menjadi ‘tidak terkawal dan menjejaskan organ lain’.

Mendapat pendidikan di Britain, Amerika Syarikat dan Thailand, Puteri Bajrakitiyabha memegang beberapa jawatan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan berkempen untuk layanan yang lebih baik bagi wanita di penjara.

Dikenali di Thailand sebagai ‘Puteri Bha’, kerabat diraja  berusia 47 tahun itu ialah anak tunggal daripada perkahwinan pertama Raja Vajiralongkorn.

Raja Thai berusia 73 tahun itu  mempunyai tujuh orang anak daripada empat perkahwinan dan  belum mengumumkan pewaris takhta pilihannya. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN