JOHOR BAHRU – Polis masih menjalankan siasatan dakwaan kejadian tular melibatkan seorang bayi perempuan meninggal dunia dipercayai akibat dicampak dari tingkat 10 sebuah projek perumahan rakyat (PPR) di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin Nisa Ismail berkata, kejadian itu yang dikatakan berlaku beberapa hari lalu itu menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat.
“Difahamkan bayi malang itu dipercayai baharu dilahirkan kerana masih bertali pusat, dan ibu bayi didakwa berusia 20-an.
“Kejadian ini masih lagi dalam siasatan polis, orang ramai diharapkan dapat memberi ruang kepada siasatan polis,” katanya ketika dihubungi di sini.
Sementara itu, Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara mengesahkan kejadian itu dan berkata, kejadian masih dalam siasatan.
Menerusi gambar dan maklumat tular, bayi berkenaan ditemui sudah tidak bernyawa di kawasan parkir flat berkenaan.-KOSMO! ONLINE














